Jadi kapten pasukan, Natanael Siringoringo dan Jordi Amat bukti pemain Indonesia semakin berkualiti

93

Ketika pemain tempatan masih berada di zon selesa dengan bermain di Liga Malaysia, pemain dari negara jiran Indonesia pula semakin ramai yang berkelan ke luar negara dan mula memperlihatkan impak yang dibawa oleh mereka.

Contoh terbaik adalah dua pemain Indonesia iaitu Jordi Amat dan Natanael Siringoringo yang masing-masing menjadi tonggak utama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan FC.


Dengan pengalaman luas di Eropah, Jordi tidak mengambil masa yang lama untuk mendapat kepercayaan ketua jurulatih Esteban Solari untuk memakai lilitan kapten yang mana beliau berjaya mengemudi pasukan untuk terus mendominasi saingan Liga Super dan sehingga kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Dalam pada itu, Natanael juga turut mencuri tumpuan apabila telah diberikan kepercayaan penuh untuk menggalas tanggungjawab yang besar sebagai ketua pasukan yang baru.

Natanael dipilih menjadi ketua pasukan dalam dua perlawanan sebelum ini ketika bertemu JDT dan juga perlawanan baru-baru ini menentang Negeri Sembilan FC yang menyaksikan beliau berjaya membawa kelabnya itu memenangi perlawanan tersebut.

Perkara ini menunjukkan bahawa kualiti yang ada pada pemain dari Indonesia semakin hari semakin meningkat, malah mampu bersinar walaupun bermain di liga luar negara.

Pemain berusia 23 tahun itu diserap masuk bagi memenuhi kuota pemain import dari Asia Tenggara ke dalam skuad The Red Warriors.

Sehingga kini, beliau telah beraksi dalam lima perlawanan bersama Kelantan dan telah berjaya menyumbangkan dua jaringan gol.

Pada musim lepas beliau telah dipinjamkan ke kelab Dewa United justeru berjaya bersaing mendapatkan tempat sebagai tonggak utama dalam 27 perlawanan dengan dua jaringan gol juga sebelum kembali pulang ke kelab Pantai Timur itu pada musim ini.

Natanael dilihat sebagai prospek muda yang menjanjikan buat Kelantan kerana beliau juga pernah dipilih untuk mewakili skuad bawah 23 tahun Indonesia pada temasya Sukan Sea Filipina pada tahun 2019 yang lalu.  

Sekiranya pemain tempatan Malaysia berani untuk keluar ke liga luar untuk bersaing menunjukkan kualiti yang ada maka tidak mustahil suatu hari nanti akan ada pemain kita yang bakal menjadi ketua pasukan untuk kelab luar juga.