Zamsaham perlu segera selesai masalah bekas Frank Bernhardt supaya tak rencatkan momentum Kelantan FC

349

Ketika Kelantan FC sedang dalam mood terbaik apabila berjaya memperoleh kemenangan kedua setelah sekian lama selepas mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

Kemenangan tersebut nyata menggembirakan peminat The Red Warrior yang sudah lama menantikan kemenangan selepas mengharungi saingan pusingan pertama yang cukup menyedihkan apabila berada di tangga tercorot liga.


Bagaimanapun kegembiraan peminat tidak bertahan lama apabila Kelantan sekali lagi terpalit dengan kontroversi baru apabila bekas ketua juralatih Frank Bernhardt tampil mengakui dirinya hidup dalam keadaan terkontang-kanting.

Bernhardt kini hidup menumpang di sebuah bilik seperti stor di kediaman milik bekas pengawai pasukan itu sementara menunggu tiket penerbangan dari pihak kelab yang sehingga kini masih belum diterima.

Dalam satu kenyataan jurulatih dari Jerman itu kepada media, beliau mengakui sudah menerima gaji penuh tetapi mahu tunggu sehingga dapat tiket penerbangan pulang.

Ini kerana menurut Bernhardt, sekiranya beliau mengambil keputusan untuk pulang ke negara menggunakan wang sendiri pastinya beliau tidak akan tahu bila beliau akan mendapat duit tiket penerbangannya itu.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) turut kecewa dengan apa yang berlaku dan bersedia untuk hulurkan bantuan bagi menghantar jurulatih itu pulang ke negaranya.

Susulan itu, pemilik kelab Norizam Tukiman atau mesra dengan panggilan Zamsaham perlu segera menyelesaikan isu yang berlaku dengan Bernhardt supaya ia tidak menjejaskan momentum cemerlang pasukan itu ketika ini.