The Speedy Tigers pamer prestasi meyakinkan, peluang cerah raih emas di Sukan Asia

67

Skuad hoki negara kini tanpak semakin bersedia bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou dibawah pimpinan Arul Selvaraj selepas beberapa siri kejayaan yang dibawa oleh beliau dalam mengendali skuad The Speedy Tigers itu.

Arul Selvaraj yang sudah dua tahun bersama skuad hoki negara sememangnya telah membawa pasukannya merangkul pelbagai kejuaraan dalam memastikan moral dan semangat para pemain sentiasa mahukan kemenangan.


Dalam tempoh beliau mengendali pasukan ini juga sudah banyak kejayaan yang diraih antaranya membawa skuad hoki negara merangkul gelaran Juara Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama pada tahun 2022 selepas menewaskan juara edisi sebelum itu Korea Selatan dengan skor 3-2.

Selain itu, beliau juga berjaya membawa Malaysia mara ke Kejohanan Piala Dunia Hoki 2023 di Rourkela dan Bhubaneswar awal tahun lalu yang menampilkan pasukan negara berjaya mara ke pusingan kalah mati namun terkandas dan menamatkan penyertaan mereka di penentuan kedudukan ke-13 hingga ke-16.

Namun ia suatu perkembangan positif yang ditonjolkan oleh skuad hoki negara dalam persiapan mereka bagi mengejar pingat emas di Sukan Asia yang bakal berlangsung pada penghujung September ini.

Skuad kendalian Arul Selvaraj itu juga baru-baru ini telah berjaya memasuki perlawanan akhir Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia yang memperlihatkan mereka tewas di tangan pasukan tuan rumah iaitu India dengan keputusan yang sengit 3-4 sekaligus memberikan gelaran naib juara buat Malaysia.

Hal ini memperlihatkan Malaysia sudah mampu bersaing dengan pasukan-pasukan terkuat di Asia seperti Korea Selatan, Pakistan dan juga India memandangkan mereka bakal bertemu lagi di kejohanan Sukan Asia tidak lama lagi.

The Speedy Tigers bakal mengharungi cabaran Sukan Asia kelak dalam saingan kumpulan B bersama-sama dengan negara jiran Indonesia, Thailand serta China, Oman dan pasukan yang sebelum ini dibaham oleh mereka iaitu Korea Selatan.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-3 terbaik di Asia dibawah India dan Korea Selatan menunjukkan prestasi yang meyakinkan untuk membawa pulang kilauan pingat emas dari bumi China itu nanti.

Diharapkan dengan momentum dan prestasi sekarang skuad hoki negara mampu memberikan kejutan dan sekaligus mengalahkan dua gergasi hoki Asia itu yang mana kita belum pernah membawa pulang pingat emas bagi sukan hoki dari Sukan Asia baik pasukan lelaki mahupun wanita.