Tiada siapa kenal saya ketika bersama Malaysia, tapi saya terkenal bila Indonesia tewaskan Malaysia di Sukan SEA – Dharma Raj

752

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan hoki dalam dewan Indonesia, Dharma Raj baru-baru ini menerima kritikan daripada peminat sukan di Malaysia apabila dikhabarkan telah mendapat tawaran untuk menjadi rakyat Indonesia.

Dharma mendapat tawaran tersebut dari Federasi Hoki Indonesia selepas beliau berjaya membantu Indonesia menewaskan pasukan Malaysia di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini untuk merangkul pingat emas.


Menurut Dharma, selepas empat tahun mengendalikan pasukan kebangsaan negara itu beliau berasa cukup seronok dan wang tidak menjadi motivasinya untuk kekal di sana.

“Saya sudah empat tahun di sini dan sangat suka dengan negara ini. Wang bukan segala-galanya bagi saya.

Tawaran untuk menjadi warganegara Indonesia telah viral dalam kalangan netizen di Malaysia yang banyak mengkritik saya.

Kekalahan pasukan Malaysia di tangan Malaysia adalah satu perisitiwa hitam buat hoki Malaysia dan mereka tidak boleh menerima kenyataan,”

katanya kepada sebuah media tempatan Indonesia.

Dalam pada itu, Dharma turut meluahkan rasa kesalnya apabila selama 11 tahun beliau mengendalikan pasukan hoki Malaysia termasuk memperoleh pelbagai kejayaan bersama pasukan namun tidak pernah dikenali.

“11 tahun saya melatih pasukan Malaysia, saya pernah bawa pasukan menjuarai Piala Asia, pernah bawa pasukan berada di kedudukan keempat dunia dan saya juga pernah dinobat sebagai jurulatih terbaik di Malaysia.

Tapi saya tak terkenal seperti waktu menewaskan Malaysia di Sukan SEA baru-baru ini.”

Sementara itu, Dharma dalam temubual ringkas itu bagaimanapun tidak memberi sebarang kata putus berhubung tawaran tersebut, sebaliknya berkata mahu melihat keadaan terlebih dahulu.