Dari Liga Super sanggup ke Liga Perdana?

884

Bekas pemain pertahanan Selangor FC, Muhammad Syahmi Safari telah sah menandatangani kontrak bersama pasukan juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2022.

Kemasukan Syahmi Safari sebagai pemain tempatan baru ini tidak mengejutkan peminat terutamanya peminat Selangor sendiri kerana sebelum ini sememangnya terdapat desas-desus yang mengatakan Syahmi bakal ke pasukan Harimau Selatan.


Malah segelintir peminat The Red Giants tidak berasa ralat langsung dengan penghijrahan Syahmi kerana ada peminat yang mendakwa pemain berusia 23 tahun itu menjadi ‘duri dalam daging’ dalam pasukan Selangor.

Sumber foto: Selangor Power Sampai Kiamat

Bagaimanapun Syahmi dikatakan tidak akan mula bermain bersama skuad utama sebaliknya akan bermain untuk pasukan JDT II di Liga Perdana terlebih dahulu sebelum dapat peluang bersaing merebut posisi pertahanan kanan atau kiri yang kini dikuasai oleh Matt Davies dan Corbin Ong.

Jika dilihat dari persembahan semasa Syahmi ketika bersama Selangor tidaklah memberangsangkan, malah aksinya bersama skuad Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini dikritik hebat apabila posisinya menjadi ‘lubuk’ pemain lawan.

Sumber foto: EDT

Persoalan yang timbul ketika ini adakah Syahmi ke JDT kerana ditawarkan gaji lumayan atau sebaliknya? Mungkin segelintir peminat akan berkata ‘jika dapat gaji tinggi lebih baik pergi saja’, namun jika seseorang pemain mengutamakan minit permainan pasti akan memikirkan peluangnya untuk turun beraksi.

Rasanya peminat sudah sedia maklum banyak pemain yang berada dalam prestasi terbaik berhijrah ke JDT akhirnya hanya memanaskan bangku simpanan sahaja dan lebih teruk lagi persembahan mereka mula merosot dan akhirnya dipinjamkan ke pasukan lain.

Apa-apa pun siapalah kita sebagai peminat nak aturkan kerjaya pemain itu sendiri. Sebagai peminat kita perlu menghormati keputusan pemain untuk ke pasukan mana yang dimahukannya dan berharap pemain itu akan terus bersinar bersama pasukan baru.

Pasukan Selangor boleh dikatakan menjadi ‘pembekal’ pemain pertahanan buat JDT sejak dari 2014 lagi apabila empat pemain termasuk Syahmi berhijrah ke sana.

Tiga pemain tersebut adalah Mahali Jasuli (2014), S Kunalan (2015) dan Azrif Nasrulhaq (2016).

Selain Syahmi, JDT juga baru sahaja menandatangani penyerang dari kelab Udinese di liga Serie A iaitu Fernando Forestieri.