Selangor TOT United menang kerana mereka gunakan peluang dengan baik – Gerard Casas

109

Ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas menganggap pasukannya bermain sama baik dengan Selangor TOT United walaupun tewas 5-4 pada perlawanan pertama suku akhir Piala Futsal Malaysia 2023 sebentar tadi.

Katanya, ia adalah satu persembahan yang baik daripada anak-anak buahnya walaupun masih lagi penat daripada perlawanan akhir MPFL Isnin lalu.


“Kita tahu kita akan bergelut bermain pada hari ini dengan kepenatan, tetapi bagi saya kita tidak bermain lebih teruk atau lebih baik dari mereka, mungkin kedua-dua pasukan sama tahap.

Cuma mereka gunakan peluang mereka dengan lebih baik daripada kami, dan penjaga gol mereka juga beraksi dengan begitu baik,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya para penyokong akan membantu mereka untuk mencatat kemenangan pada perlawanan kedua Rabu ini di Sukpa.

Katanya, tanpa penyokong, Pahang Rangers tidak akan bergelar juara MPFL pada musim ini.

“Para penyokong sudah membantu kami sejak sekian lama, tanpa mereka tak mungkin kami jadi juara MPFL, mereka buatkan pasukan lain sukar bermain di Sukpa.

Saya harap sokongan mereka dan keputusan perlawanan hari ini akan cukup untuk perlawanan kedua nanti.”

Tambahnya, mereka akan menganalisa perlawanan sebentar tadi dan memperbaiki apa yang perlu sebelum perlawanan kedua.