Kita perlu teruskan usaha untuk capai impian raih dua trofi musim ini – Zainulzahin

82

Penjaga gol Pahang Rangers, Zainulzahin masih belum menyerah kalah untuk misi meraih dua trofi pada musim ini walaupun tewas pada perlawanan pertama suku akhir Piala Futsal Malaysia di tangan Selangor TOT United sebentar tadi.

Katanya, walaupun para pemain berdepan dengan kepenatan, mereka harus terus bersemangat untuk mencapai impian itu.


“Memang tak dinafikan tidak cukup rehat selepas perlawanan akhir MPFL Isnin lalu tetapi tak boleh buat apa ini memang jadualnya.

Kita perlu teruskan juga untuk mencapai impian meraih trofi kedua musim ini, sebelum ini dua kali dapat tempat kedua jadi ini adalah peluang terbaik,”

katanya.

Pasukannya tewas 5-4 pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu rasa selesa dengan anugerah penjaga gol terbaik yang diterimanya untuk saingan MPFL.

Tegasnya, perjalanan masih jauh untuk dirinya dan beliau harus terus kekal fokus untuk memperbaiki diri.

“Walaupun dapat anugerah penjaga gol terbaik tempoh hari, usaha bukan terhenti di situ saja, jauh lagi perjalanan yang perlu saya hadapi.

Saya bersyukur selepas lima, enam tahun saya diberi kepercayaan oleh jurulatih, jadi saya perlu pikul tanggungjawab yang diberikan dengan baik.”

Beliau memasang impian untuk terpilih mewakili Malaysia satu hari nanti.