Penyokong Kelantan FC hilang sabar! Sedia boikot perlawanan akan datang

954

Selepas mengharungi kekalahan demi kekalahan dengan jumlah bolos yang tidak munasabah, para penyokong setia Kelantan FC mula mempersoalkan kredibiliti yang dimiliki oleh pemilik kelab berkenaan iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham dalam menguruskan pasukan dari Pantai Timur itu.

Penyokong setia kelab itu juga seolah-olah tidak dapat menerima maruah kelab kesayangan mereka tercalar begitu sahaja dan bersedia untuk mengambil tindakan dengan memboikot setiap perlawanan yang melibatkan kelabnya itu sebagai tanda protes.


Ia susulan satu tinjauan yang dilakukan oleh akaun Twitter, Berita Bola Kelantan yang bertanyakan kepada penyokong samada mahu terus turun ke stadium atau tidak selepas aksi hambar pasukan telah menyaksikan sebanyak 83.6% mahu memboikot perlawanan dan hanya 16.4% sahaja yang mahu terus kekal setia menyokong.

Kekecewaan penyokong kelab itu seperti tidak dapat dibendung lagi dan sekiranya mereka terus kehilangan jumlah kehadiran para penyokong mereka ke stadium secara tidak langsung ia akan memberikan impak kepada pendapatan kelab itu sendiri untuk terus bersaing dalam Liga Super Malaysia yang masih berbaki enam perlawanan.

Malah, segala perubahan daripada barisan kejurulatihan serta kemasukan para pemain yang silih berganti sebelum ini juga masih tidak mendatangkan hasil buat kelab itu untuk bersaing memperbaiki kedudukan dalam liga.

Dalam pada itu, tanda tanya berkenaan Kamal Hisham Jaafar yang dikatakan bersedia untuk membida kelab itu dilihat sebagai satu sinar baharu buat para penyokong mereka untuk mengembalikan semula era kegemilangan kelab tersebut.

Melalui akaun rasmi Facebook milik peribadi beliau, Kamal telah melakukan pertemuan dengan Zamsaham semalam di kediaman beliau dengan kebarangkalian membincangkan berkenaan minatnya untuk mengambil alih pasukan The Red Warriors itu.

Kekalahan besar pasukan itu tempoh hari dalam saingan Piala Malaysia ketika menentang kelab gergasi seperti Johor Darul Takzim (JDT) dengan agregat 15-1 pasti akan memberikan kesan kepada mental para pemain yang juga mahukan perubahan buat pasukannya itu.

Kehadiran Kamal sedikit-sebanyak mampu melegakan resah para peminat dan pemain yang mahukan perubahan secara drastik kelab itu untuk kembali memberi saingan dalam liga walaupun sebelum ini terdapat juga ura-ura Datuk Sri Vida dan Erfan Akif Ruslan yang turut mempunyai hasrat yang sama.

Pasukan Kelantan pasti akan terus kehilangan lebih ramai penyokong tegar mereka pada masa akan datang sekiranya kelab itu masih terus menjadi lubuk buat kelab-kelab besar mencuri mata.