Selain aspek kewangan, pengurusan yang cekap perlu jadi keutamaan Zamsaham sebagai pemilik Kelantan

94

Kegagalan untuk mendaftarkan pemain-pemain import baharu oleh Kelantan FC dan meletakkan seluruh tanggungjawab sepenuhnya di bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah langkah tidak adil serta bersifat tidak profesional.

Kemelut berpanjangan yang melanda kem bola sepak Kelantan ketika ini dilihat sebagai isu dalaman yang tidak akan menemui noktahnya.


Hal ini berikutan pemilik kelab tersebut iaitu Norizam Bin Tukiman atau Zamsaham yang hanya memikirkan faktor kewangan semata-mata untuk menjadi teras dalam membentuk kejayaan semasa mentadbir sesebuah kelab bola sepak.

Mentaliti ini harus diubah sepenuhnya oleh pemilik kelab tersebut kerana faktor pengurusan serta pentadbiran kelab yang cekap dengan langkah yang lebih komprehensif wajar dijadikan aspek utama dalam menguruskan sesebuah kelab bola sepak.

Dalam pada itu, pengurusan bola sepak juga memerlukan individu yang komited akan sukan tersebut untuk meningkatkan mutu serta kualiti kelab dari segi infrastruktur sebelum boleh menjana wang semula melalui pelaburan yang telah dikeluarkan.

Tambahan pula, pemilik kelab juga perlu mempunyai kesedaran bahawa dengan menekankan aspek kewangan semata-mata tidak menjanjikan kejayaan buat pasukan jika tidak ditadbir urus dengan produktif dan baik dari segi kebajikan kelab khususnya.

Sebelum ini, Zamsaham gagal untuk mendapatkan kesepakatan bersama dua individu yang berminat untuk mendapatkan kelab itu yang dilihat mampu untuk membawa perubahan besar selepas mengalami kemelut gaji yang berterusan.

Sekiranya diambil kira akan prestasi kelab itu pada musim ini dengan prestasi yang tidak memuaskan serta kedudukan kedua terakhir dalam liga, mempunyai isu pembayaran gaji bersama para pemain dan staf kejurulatihan serta infrastruktur kelab latihan yang tidak memuaskan.

Isu kontroversi bersama bekas jurulatih mereka iaitu Choi Moon-sik, sekatan pembelian pemain dan yang terkini tindakan Zamsaham menyalahkan pihak FAM jelas menunjukkan kelab itu masih belum bersedia sepenuhnya untuk bersaing dalam Liga Super lagi.

Pemilik kelab perlu sedar bahawa kewangan yang baik perlu bergerak selari dengan pengurusan kelab yang cekap agar dapat membuahkan hasil kepada kejayaan kelab pada masa akan datang.