Keputusan untuk gugur atau kekalkan atlet dalam RTG akan dibincangkan September ini – Hannah Yeoh

125

Menteri Belia dan Sukan (KBS) YB Hannah Yeoh memberitahu pihaknya akan membuat penilaian terhadap semua atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) pada bulan September ini untuk menentukan samada akan ada atlet digugurkan, dikekalkan atau ditambah.

“Seperti yang saya katakan pada mesyuarat lepas, kita akan buat penilaian pada bulan September nanti jadi selepas selesai mesyuarat RTG kita akan panggil pihak media untuk sidang media.

Dalam mesyuarat itu kita akan melihat perkembangan dan ranking baru atlet dan kita akan mendengar daripada atlet yang kita masukkan dalam RTG seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Dato’ Mirnawan Nawawi yang akan memberi maklum balas mereka.

Kita akan mendengar daripada penasihat teknikal dan atlet itu sendiri samada berdasarkan ranking terkini samada terlalu awal untuk gugurkan mereka atau kita perlu buat perubahan,”

katanya.

Tambah Hannah lagi, untuk pertambahan atlet dalam RTG juga akan dibincangkan pada mesyuarat September nanti.


Hannah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program ISN Inspire 2023 dan Pelantikan Anggota Lembaga Baharu Institut Sukan Negara (ISN).

Dalam pada itu, Hannah memberitahu pihak KBS telah melantik enam orang Ahli Lembaga ISN baru yang mana ia melibatkan individu-individu yang berpengalaman luas dalam bidang kepakaran masing-masing yang mampu memberi impak positif kepada ISN dalam memacu kecemerlangan negara dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan.

“Dalam sidang media ini saya mahu fokus kepada lantikan Ahli Lembaga ISN baru dan bersama sama Datuk Marina Chin, bekas olahragawati negara dan pengalaman beliau sebagai pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Kita juga ada Datuk Nicol Ann David yang turut dimasukkan dalam Ahli Lembaga. Hala tuju untuk memperkasakan wanita dalam sukan dan untuk melihat kecemerlangan perkhidmatan kita boleh berikan kepada atlet-atlet kita dan itu adalah mandat baru kita.”

Jelasnya lagi, beliau juga mahu negara melahirkan lebih ramai jurulatih profesional yang boleh membantu atlet-atlet negara.