Prestasi menggusarkan Atlet RTG, Sukan Asia bakal jadi penanda aras

67

Pengejaran pingat emas di sukan Olimpik Paris 2024 sudah pasti tertumpu kepada kelompok atlet Road To Gold (RTG) namun kegagalan mempamerkan prestasi terbaik dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini sedikit menggusarkan.

RTG yang disertai oleh atlet daripada beberapa sukan teras seperti badminton, berbasikal trek, akuatik terjun dan hoki mensasarkan kilauan pingat emas pertama olimpik buat kontijen negara.


Disebalik kecemerlangan skuad hoki kebangsaan dan tahap konsisten yang ditonjolkan pasangan beregu lelaki serta wanita negara, peminat mula risau dengan pencapaian-pencapaian atlet lain dalam kelompok prospek ini.

Jika diimbas kembali dalam tempoh beberapa siri kejohanan buat skuad badminton negara rata-rata pemain negara gagal membawa pulang kejuaraan secara konsisten dan ada juga yang acap kali terkandas di pusingan awal.

Terutama buat pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia yang kelihatan bertungkus lumus untuk mengembalikan prestasi cemerlangnya tahun lalu selepas berehat sebelum ini.

LZJ juga sedang menunjukkan prestasi yang masih tidak konsisten namun kelihatan beliau sedang bergelut untuk mendapatkan kembali rentak permainannya dan melihat ke dalam ranking Badminton World federation (BWF) kini telah jatuh satu anak tangga daripada kedudukan 13 kepada 14 dunia.

Selain itu juga ratu terjun negara, Datuk Pandalela Rinong yang pernah meraih pingat di pentas Olimpik London dan Rio de Janeiro turut merisaukan apabila penampilannya dalam siri kejohanan Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun baru-baru ini tidak membuahkan hasil bagi mendapatkan slot untuk ke Olimpik Paris 2024.

Kegagalan membuat terjunan sempurna dalam beberapa aksi terjunan membuatkan beliau tertinggal jauh di belakang penerjun-penerjun lain dan terkandas di pusingan kelayakan apabila menduduki kedudukan ke-24 dan gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Olimpik Paris yang dijadualkan bakal bermula 26 Julai tahun hadapan bukan satu tempoh masa yang panjang buat para atlet prospek ini mendapatkan tempat mereka di pentas kejohanan terbesar dunia itu.

Para atlet seharusnya berkerja sekeras mungkin untuk memastikan tempat mereka di sana dan kemudian baru boleh memikirkan persiapan dengan tenang untuk mengejar pingat emas seperti yang diharapkan oleh semua peminat sukan tanah air.

Mungkin dalam masa terdekat ini juga, badan kepimpinan tertinggi RTG perlu mengkaji semula tahap prestasi para atlet dan perlu memberi perhatian kepada atlet-atlet di luar RTG yang menunjukkan prestasi cemerlang mereka.

Menjelang Sukan Asia Hangzhou tidak lama lagi, ia sepatutnya menjadi satu pendanda aras buat atlet melihat kemampuan mereka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan mereka layak untuk berada dalam kelompok prospek yang bakal membawa pulang pingat emas.

Oleh yang demikian, diharapkan akan lebih ramai atlet negara kita samada yang berada di dalam mahupun luar RTG mendapat peluang untuk bersaing dalam Olimpik Paris tahun hadapan.