Lagi acara ‘drag’ libatkan kematian tak dapat kelulusan, KBS harus ambil langkah drastik baiki kelemahan sukan permotoran negara

662

Berikutan insiden yang meragut nyawa seorang pelumba dalam acara Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 baru-baru ini, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya tidak memberi kelulusan penganjuran acara berkenaan.

Perkara itu turut disahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengatakan bahawa penagjuran acara itu tidak disokong oleh pihaknya.


Acara tersebut telah dianjurkan oleh MUSC Motorsports, yang sebelum ini turut menganjurkan acara Battle of The King (BOTK) 2022 Oktober tahun lalu, yang juga tidak diluluskan oleh MAM, di mana salah seorang pesertanya meninggal dunia ketika perlumbaan.

Ini menimbulkan satu persoalan yang besar bagaimana penganjur yang sebelum ini pernah terlibat dalam insiden sama boleh menganjurkan satu lagi acara tanpa kelulusan badan tersebut?

Pada Disember tahun lalu, seorang penonton turut maut apabila diermpuh oleh kereta peserta, di mana MAM turut mengeluarkan kenyataan bahawa acara tersebut tidak diselia oleh pihaknya.

Sukan permotoran merupakan salah satu sukan yang paling bahaya dan berisiko tinggi, jadi seharusnya penelitian terhadap aspek keselamatan diberi penekanan yang amat tinggi.

Melihat kepada insiden-insiden yang berlaku dalam tempoh masa tidak sampai setahun ini, KBS harus melakukan sesuatu dalam memperketatkan lagi penganjuran acara sukan permotoran pada masa hadapan.

Penganjur yang menganjurkan acara tanpa kelulusan oleh MAM dan KBS juga haruslah dipertanggungjawabkan atas insiden yang berlaku.

Kerajaan haruslah bekerja sama dengan MAM dalam memastikan arena sukan permotoran di negara ini selamat untuk semua pihak.

Jelas terdapat banyak kelemahan dalam arena sukan permotoran di Malaysia, dan ia harus diubah dengan segera.

Jika tidak, insiden seperti yang berlaku sebelum ini akan terus menyelubungi arena sukan permotoran negara, dan sudah tentu arena sukan permotoran negara akan terus mundur.