JDT beri peluang kedua buat Rozaimi Rahamat, bawa dinamik baharu dalam skuad futsal Harimau Selatan

287

Bekas penjaga gol Kelantan FC, Rozaimi Rahamat mencuri tumpuan ramai selepas beliau dilihat muncul dalam satu hantaran media sosial pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang menjalani latihan.

Beliau yang sebelum ini ditamatkan kontrak secara persetujuan bersama (mutual termination) pernah menggemparkan arena bola sepak tempatan apabila rakaman perbualannya dengan pemilik kelab, Zamasaham tular di media sosial.


Terdahulu, beliau juga pernah meluahkan bahawa dirinya pernah terfikir untuk berhenti daripada bermain bola sepak kerana sudah kecewa dengan apa yang berlaku antara dirinya dan Kelantan.

Namun, perpindahannya ke pasukan futsal JDT dilihat sebagai peluang kedua baginya untuk terus aktif dalam bidang sukan walaupun berlainan sukan.

Namun, namanya sebenarnya tidak asing dengan JDT kerana pernah bersama skuad JDT II sebelum berpindah ke Kelantan.

Jadi tidak mengejutkan mengapa pasukan futsal JDT mengambilnya untuk menyertai pasukan kerana pastinya mereka mengetahui kemampuan pemain itu berdasarkan tempohnya bersama JDT II satu ketika dahulu.

Pengalamannya dalam dunia bola sepak profesional juga boleh membantu menambah dinamik kepada pasukan JDT.

Walaupun tidak berjaya menembusi skuad bola sepak JDT, beliau boleh menjadi watak penting dalam revolusi yang ingin dilakukan oleh pasukan futsal JDT.

Rozaimi menjadi bekas pemain Kelantan terbaharu yang menyertai pasukan lain selepas meninggalakn pasukan Pantai Timur itu.

Sebelum ini, beberapa pemain seperti Ismahil Akinade, Christian Rontini, Miguel Cifuentes dan lain-lain turut meninggalkan pasukan itu selepas kemelut yang melanda.