Tempat ketiga adalah penting buat arena futsal Terengganu – Mohd Rozairi

117

Ketua jurulatih Terengganu Futsal Team, Mohd Rozairi Ahmad menyifatkan bahawa perlawanan untuk merebut tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia 2023 adalah penting untuk arena futsal Terengganu.

Katanya, sekiranya berjaya meraih kedudukan ketiga, ia akan menjadi bekalan motivasi buat pasukan Terengganu pada musim-musim mendatang, lebih-lebih lagi untuk pemain muda.


“Terengganu ini boleh dikatakan sebuah pasukan kecil jadi berada di kelompok empat terbaik adalah satu bonus, jika kita berjaya meraih kedudukan ketiga, ia akan jadi motivasi buat pemain-pemain kita untuk musim akan datang.

Kali terakhir mendapat tempat ketiga adalah pada 2019 dalam saingan MPFL jadi ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke tahap ini, saya beritahu pemain bahawa peluang seperti ini tidak datang selalu,”

katanya.

Untuk perlawanan esok, Rozairi berkata bahawa Terengganu adalah pasukan underdog, namun yakin para pemain sudah bersedia.

Katanya, walaupun mereka tewas kepada Selangor MAC dalam kedua-dua perlawanan liga musim ini, esok akan menjadi satu perlawanan yang berbeza.

Sementara itu, kapten pasukan, Tengku Azraf Fahimi berkata mereka akan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat ketiga bagi membanggakan peminat futsal di Terengganu.

“Untuk perlawanan esok tiada tekanan buat kami, kita tahu Selangor MAC satu pasukan yang kuat tetapi kami akan cuba mendapatkan kemenangan untuk peminat di Terengganu.”

Katanya, persiapan pasukan berada dalam keadaan yang baik dan mereka akan turun berbeza daripada perlawanan dalam liga sebelum ini.