Tiada yang istimewa untuk menentang JDT walaupun ia perlawanan akhir – Gerard Casas

120

Ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas menyifatkan tiada ramuan istimewa untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia esok.

Beliau tahu bahawa JDT adalah pasukan yang kuat tetapi menegaskan bahawa mereka harus meneruskan rentak permainan yang sudah dibawa sejak 10 bulan lalu ketika musim bermula.


“Persiapan untuk perlawanan esok adalah kita buat apa yang kita sudah lakukan dalam tempoh 10 bulan lalu, tiada apa yang istimewa.

Saya tahu ini adalah perlawanan akhir tetapi kita tidak akan ubah gaya kita dan bermain seperti biasa,”

katanya.

Beliau mengakui bahawa pahit tewas dalam dua perlawanan akhir musim lalu membuatkan para pemain lebih matang dan bersemangat untuk merampas dua trofi musim ini.

Dalam pada itu, beliau gembira apabila sekali lagi bertemu JDT pada perlawanan akhir selepas kedua-duanya bertemu pada perlawanan akhir MPFL sebelum ini.

Ini kerana, beliau bangga kedua-dua pasukan dikendalikan jurulatih dari Sepanyol, membuktikan kekuatan arena futsal negara itu.

Sementara itu, kapten Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali teruja apabila aksi final tahun ini diadakan di Stadium Malawati.

Katanya, ini memberi peluang untuk lebih ramai lagi penyokong yang hadir untuk memberikan semangat kepada mereka.

“Suasana di stadium itu saya rasa tak jadi masalah kerana di Sukpa juga kapasitinya besar.

Apabila lebih ramai penyokong yang hadir, ia membuatkan pemain lebih bersemangat.”

Saiful berkata bahawa semangat pemain-pemain Pahang Rangers pada musim ini lebih membara untuk meraih dua trofi selepas tewas dalam dua perlawanan akhir musim lalu.