Mara ke perlawanan akhir saja tak mencukupi, kita harus jadi juara – Juan Antonio Miguel

71

Ketua jurulatih JDT Futsal, Juan Antonio Miguel bertekad mahu menjulang trofi Piala Futsal Malaysia dengan menewaskan Pahang Rangers pada perlawanan akhir esok.

Katanya, melayakkan diri ke dua perlawanan akhir dalam musim pertama kelab itu adalah satu pencapaian yang baik namun memenangi trofi adalah penting.


“Tahun pertama pasukan ini dalam arena futsal Malaysia, ini adalah satu proses buat kami, ini adalah kerja yang dilakukan sejak sebelum musim ini bermula lagi.

Adalah satu kebanggaan untuk mara ke dua perlawanan akhir tetapi mara ke perlawanan akhir saja tidak cukup, kita harus menang juga,”

katanya.

Beliau berkata, pasukannya sudah melupakan kekalahan di tangan Pahang Rangers pada perlawanan akhir MPFL sebelum ini dan fokus untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan esok.

Katanya, menjulang trofi itu adalah penting buat pasukan JDT serta semua individu di dalamnya, termasuklah para pemain, barisan kejurulatihan, pegawai pasukan dan pihak pengurusan, yang telah bertungkus lumus selama ini.

Sementara itu, kapten pasukan, Azrul Hadee Taufiq berkata beliau tidak terlalu memikirkan untuk membalas dendam terhadap kekalahan di pentas final MPFL, tetapi fokus untuk berjuang habis-habisan.

Beliau juga mengakui bahawa mengalami sedikit kecederaan tetapi bersedia untuk diturunkan sekiranya diperlukan.

“Bagi saya ini adalah satu perlawanan yang lain untuk kami jadi kami hanya fokus untuk memberikan 100 peratus.

Kalau ikutkan memang saya nak main tetapi ia terpulang kepada jurulatih, tetapi walau siapa pun yang bermain esok, saya pasti semuanya akan beri 100 peratus.”