Gol kelima JDT sepatutnya dikira, penjaga masa tekan butang lepas pemain sepak bola – Juan Antonio Miguel

835

Ketua jurulatih futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada saingan Piala Futsal Malaysia 2023 yang menyaksikan pasukannya tewas kepada Pahang Rangers sebentar tadi.

Katanya, gol yang dijaringkan oleh pasukannya pada saat akhir permainan masa tambahan sepatutnya dikira, dan pasukan Pahang Rangers juga sepatutnya mendapat lebih banyak foul.


“Anda semua boleh lihat apa yang berlaku, pemain Pahang Rangers tolak pemain saya tidak dikira foul, apabila pemain saya buat dikira foul pula.

Gol kelima kami juga patutnya dikira kerana penjaga masa menekan butang selepas pemain menyepak bola tapi pengadil kata tidak gol,”

katanya.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab harus menganalisis mutu pengadilan pada malam ini untuk masa depan futsal negara.

Beliau juga merasakan bahawa pasukannya menguasai majoriti perlawanan namun nasib tidak menyebelahi mereka

Sementara itu, pemain JDT, Ekmal Shahrin merasakan bahawa pasukan JDT semakin baik walaupun baru tahun bertama dalam arena futsal negara dan percaya mereka akan menjadi lebih baik lagi selepas ini.

“Kami dah cuba lakukan yang terbaik malam ini tetapi tiada rezeki, kita akan cuba lagi musim akan datang.

Saya rasa JDT pun semakin hari semakin baik, dan kita akan meningkat lebih lagi selepas ini.”