Walaupun jadi MVP, tak boleh besar kepala kerana futsal permainan berpasukan – Ridzwan Bakri

179

Pemain Pahang Rangers, Muhamad Ridzwan Bakri tidak mahu lupa diri selepas menjuarai dua piala musim ini dan terpilih sebagai pemain paling bernilai Piala Futsal Malaysia 2023.

Katanya, walau apa pun yang berlaku, beliau tidak boleh besar kepala kerana futsal adalah permainan berpasukan, jadi rakan-rakan turut membantu dirinya.


“Walaupun jadi MVP (pemain paling bernilai), tak boleh besar kepala kerana ini permainan berpasukan.

Semuanya kerja secara berpasukan, nak harap saya seorang pun tak boleh juga, kita juga ada ramai senior yang membantu beri tunjuk ajar,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pahang Rangers menewaskan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia 2023.

Ridzwan teruja apabila mendapat panggilan untuk ke kem latihan kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Rakphol Sainetngam.

Sementara itu, beliau menyifatkan kejayaan menjuarai dua trofi musim ini, iaitu Piala Futsal Malaysia dan Liga Premier Futsal Malaysia adalah rezeki selepas rumahnya terbakar.

“Saya sangat bersyukur berjaya menang dua kejuaraan musim ini, ketika rumah saya terbakar sebelum ini banyak pingat yang turut terbakar.

Mungkin inilah berkat usaha saya selama ini Allah berikan rezeki ini kepada saya.”

Sementara itu, Ridzwan tidak mahu memikirkan masa depannya lagi selepas musim ini tamat, tetapi mahu memberikan fokus seterusnya kepada kem latihan kebangsaan.