Malaysia perlu liga futsal berkualiti seperti Thailand, Jepun dan Indonesia – Rakphol Sainetngam

199

Ketua jurulatih pasukan futsal kebangsaan baharu, Rakphol Sainetngam menegaskan bahawa saingan liga futsal domestik Malaysia Futsal Premier League (MPFL) perlu meningkatkan kualiti seperti liga futsal di Thailand, Jepun dan Indonesia sekiranya mahu perubahan kualiti pasukan kebangsaan.

Menurut Rakphol, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mempunyai perancangan untuk meningkatkan kualiti liga futsal domestik dan ia hanya dapat direalisasikan jika turut mendapat kerjasama dari kelab-kelab yang beraksi di MPFL.


“Kami di FAM mempunyai perancangan untuk meningkatkan kualiti liga seperti Thailand, Jepun dan Indonesia.

Penting bagi saya untuk kelab dan pasukan kebangsaan untuk bekerjasama kerana jika kelab kuat, ia akan membantu pasukan kebangsaan,”

katanya.

Rakphol juga memberitahu bahawa beliau sudah pun bertemu dengan ketua jurulatih kelab-kelab yang beraksi di MPFL.

Beliau pada masa turut memberi penekanan tentang pentingnya jurulatih tempatan untuk belajar dan beliau akan membantu bermula tahun hadapan.

Dalam pada itu, pengendali dari Thailand itu berkata pemain Malaysia mempunyai kemampuan untuk bermain tetapi ia masih di tahap biasa dan belum capai tahap tertinggi lagi.

“Pemain-pemain Malaysia bagi saya okey saja yang mana saya boleh katakan tahap pertengahan dan belum capai tahap tertinggi, namun kita ada kualiti.

Jadi kita perlu tingkatkan kualiti untuk pergi ke tahap tertinggi dan untuk mencapai tahap itu kita perlu berlatih dengan bagus dan bermain dengan intensiti setiap masa.”

Beliau turut menuntut pemain-pemainnya untuk mengubah mentaliti kepada mentaliti kemenangan jika mahu membawa skuad futsal negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

Sementara itu, seramai 20 pemain telah dipanggil oleh Rakphol bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi saingan Kumpulan G, kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan pada 7 hingga 11 Oktober depan.

Selain kem latihan, beliau turut mengatur tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand dari 24 hingga 30 September ini, sebelum pulang ke tanah air untuk menyambung kem latihan pusat kemudian terbang ke Uzbekistan pada 5 Oktober.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan G bersama pasukan gergasi seperti Iraq, Uzbelistan dan Kemboja.