Saya yakin kita mampu beri saingan sengit di kelayakan Piala Asia Futsal – Abu Haniffa

159

Pemain pasukan kebangsaan futsal, Abu Haniffa Hasan menyuarakan keyakinan terhadap pasukan kebangsaan mampu beri saingan sengit pada kelayakan Piala Asia Futsal 2024 nanti.

Menurut Abu Haniffa, kedatangan ketua jurulatih baharu Rakphol Sainetngam akan memberi motivasi tambahan kepada pasukan berikutan pengendali dari Thailand itu mempunyai trek rekod yang cukup cemerlang dan terkenal di rantau Asia Tenggara.


“Bagi pendapat saya kita ada peluang, saya yakin dengan ketua jurulatih dan pemain yang ada untuk kita bersaing di kelayakan Piala Asia Futsal nanti.

Kita tahu reputasi cemerlang Rakphol yang pernah mengemudi pasukan kebangsaan futsal Thailand dan baru-baru ini baru sahaja membawa Black Steel FC untuk menjuarai Piala AFF Futsal kelab.

Saya bangga beliau datang ke Malaysia untuk bantu futsal negara dan saya harap kesemua pemain dapat beri kerjasama dan bagi apa yang dimahukannya,”

katanya.

Beliau pada masa sama turut berkata setiap pemain perlu berada dalam keadaan bersedia dan memberikan 1000% dalam setiap latihan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata beliau dan pasukan akan cuba menerapkan mentaliti seperti seekor Harimau setiap kali turun beraksi.

“Ya sudah pasti, kita akan cuba bermain seperti seekor Harimau yang bertahan dengan baik, sentiasa mahu mendapatkan bola dan sentiasa mahu jaringkan gol.”

Abu Haniffa adalah salah seorang daripada 20 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat untuk persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan pada 7 hingga 11 Oktober ini.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan G akan bertemu pasukan gergasi Iraq, Uzbekistan dan Kemboja.

Bagi memastikan mereka berada dalam tahap terbaik sebelum kelayakan, Rakphol turut mengatur tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Bangkok, Thailand pada 24 hingga 30 September ini, sebelum mereka terbang ke Uzbekistan pada 5 Oktober.