Satu demi satu pemain tinggalkan Kelantan FC, harapan kekal di Liga Super makin tipis

450

Selepas Ikhwan Yazek meninggalkan Kelantan FC baru-baru ini, seorang lagi pemain berbakat iaitu Natanael Siringoringo akan mengikut jejak langkah untuk meninggalkan pasukan itu gara-gara masalah yang dihadapi.

Ejen pemain itu, 2Touch International membuat kenyataan bahawa peguamnya telah memulakan satu tindakan undang-undang terhadap Kelantan kerana tidak membayar gaji.


Di saat pasukan itu sedang berusaha untuk keluar daripada zon penyingkiran, ini pastinya berita yang begitu menyakitkan.

Siringoringo boleh dikatakan antara tulang belakang Kelantan sejak beliau kembali daripada pinjaman pada jendela perpindahan kedua lalu.

Setiap kali diturunkan, beliau sentiasa memberikan 100 peratus dan menampilkan aksi yang baik walaupun majoritinya berakhir dengan kekalahan.

Selepas Ikhwan dan Siringoringo, terdapat khabar angin ada lagi pemain yang turut mahu keluar daripada kelab itu selepas ini.

Situasi yang melanda Kelantan ini dilihat akan mengganggu pasukan itu dalam menghadapi baki lima saingan Liga Super yang amat penting.

Dengan satu demi satu pemain sudah mengangkat kaki daripada pasukan, tunggakan gaji yang diddakwa sedang berlaku, ditambah dengan tindakan undang-undang yang dihadapi, ia sudah pasti akan memberi kesan kepada prestasi pasukan itu.

Jika perkara ini terus berlaku, ini dilihat mampu menjadi penghancuran buat kelab yang satu ketika dulunya pernah gah dalam arena bola sepak tempatan itu.

Lebih teruk, Kelantan mungkin terpaksa bermula dari bawah semula seperti Perlis United, Sarawak United dan Melaka United.