Jersi pasukan mana paling ‘cun’ musim ini?

386

Apabila tiba sahaja musim baru saingan Liga Malaysia, peminat merupakan antara yang paling teruja menanti perkembangan terbaru pasukan kesayangan mereka.

Ketika ini setiap pasukan sedang rancak membuat persiapan untuk memperkuat dan memantapkan pasukan sebelum saingan Liga Malaysia membuka tirai.


Tidak dapat dinafikan berita mengenai siapakah pemain baru yang akan masuk atau pemain keluar pasukan menjadi topik hangat di kalangan peminat bola sepak tempatan.

Tetapi selain perkembangan mengenai pemain, antara paling dinanti-nanti setiap peminat adalah pelancaran jersi baru pasukan untuk musim 2022.

Selalunya pelancaran jersi hanya akan dibuat selepas sesebuah pasukan itu sudah melengkapkan barisan pemain.

Untuk musim ini bagi pasukan Liga Super, hanya sebuah pasukan sahaja yang sudah melancarkan jersi mereka iaitu Selangor FC baru-baru ini.

Menggunakan ‘MLMK’, Merah Kuning Lambang Kebanggaan sebagai simbol utama di belakang jersi membawa maksud yang sangat dekat dengan kelab itu.

Secara jujurnya rekaan jersi Selangor FC daripada jenama Joma pada musim ini tiada yang istimewa langsung kerana rekaan yang terlalu simple dan tiada elemen ‘wow’ peminat.

Ketika ini ramai peminat ternanti-nanti pelancaran jersi pasukan kesayangan mereka yang sehingga kini masih belum diketahui bilakah ia akan dilancarkan.

Bagaimanapun peminat bola sepak tempatan pasti akan ternanti-nantikan jersi terbaru pasukan juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) rekaan jenama sukan terkemuka dunia Nike.

Jika pasukan lain hanya mengadakan majlis pelancaran jersi biasa, namun JDT melakukannya dengan lebih unik yang mana pelancaran jersi mereka pasti akan disertakan dengan video ‘filem pendek’.

Selain JDT, peminat turut menanti-nantikan pelancaran jersi untuk beberapa pasukan besar Liga Super antaranya Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan Penang FC.

Jadi jersi pasukan manakah akan dinobat sebagai jersi paling ‘cun’ untuk musim ini? Atau jersi paling ‘tak cun’? Sama-sama kita tunggu.