Pernah dikecam ‘scammer’, Ayron del Valle kini jadi penyerang paling prolifik Liga Super

605

Musim yang cukup cemerlang buat Selangor FC apabila mereka akhirnya berjaya melayakkan diri ke saingan AFC Champions League 2 (ACL 2) pada musim hadapan selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 untuk menjadi naib juara Liga Super musim ini.

Kemenangan itu hadir menerusi jaringan sulung oleh penyerang sensasi mereka iaitu Ayron del Valle sekaligus menjadi wira buat King of Malaya ke pentas Asia.


Pernah dikecam dan dilabel sebagai ‘scammer’ kerana beliau hadir dengan reputasi yang cukup besar iaitu pernah menjadi penjaring terbanyak di Liga Colombia, namun apabila menyarung jersi Gergasi Merah beliau gagal menjaringkan gol pada awal musim.

Tidak hanya Ayron dikecam, tetapi ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan pengurusan kelab juga menjadi mangsa kritikan penyokong yang berkata mereka telah di tipu, tapi Cheng Hoe tidak melatah sebaliknya berkata penyerang berusia 34 tahun itu perlukan masa untuk mempamerkan kemampuan sebenarnya.

Bagaimanapun Ayron mula memperlihatkan taringnya pada perlawanan derbi Lembah Klang ketika menentang KL City FC yang mana beliau berjaya menjaringkan dua gol serta melakukan satu bantuan gol.

Dari benci jadi sayang! Sejak dari perlawanan itu nama penyerang berasal dari Colombia itu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan sekaligus menjadi kesayangan penyokong itu.

Untuk saingan Liga Super, beliau kini berada di puncak sebagai penjaring gol terbanyak dengan 23 gol selepas 25 perlawanan dengan meninggalkan pencabar utama iaitu Bergson da Silva dan Fernando Forestieri dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masing-masing menjaringkan 19 gol.

Berbaki satu perlawanan sahaja lagi pada 17 Disember ini menentang PDRM FC, Ayron dijangka akan terus kekal berada di puncak sekaligus akan menjadi pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super 2023.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa Ayron merupakan penyerang paling prolifik liga musim ini selain ia merupakan pembelian terbaik daripada pihak pengurusan.

Ayuh ke Asia Bossku!