Banyak kelab mahukan Faisal Halim tapi rundingan kontrak dengan Selangor nampak positif – Dr Johan

75

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan bahawa kelab masih dalam proses rundingan mengenai kontrak baharu dengan pemain sayap, Faisal Halim.

Katanya, rundingan tersebut dilihat positif namun terdapat butiran-butiran kecil yang perlu dimuktamadkan sebelum ia ditandatangani.


“Memang banyak minat yang ditunjukkan daripada kelab-kelab lain terhadap Faisal Halim tetapi kelab dan beliau mempunyai hubungan yang baik.

Kita masih dalam proses rundingan (tentang sambungan kontrak) tetapi ia kelihatan positif, biasalah terdapat butiran-butiran kecil yang perlu dipertimbangkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengenai persiapan pasukan untuk saingan musim depan, Johan berkata bahawa pihaknya sudah memulakan persiapan dan perlu mendapatkan penajaan yang lebih memandangkan pasukan itu bakal beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2.

Tambahnya, pihak kelab sudah mengenal pasti pemain-pemain yang mahu ditandatangani, namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan.

“Usaha dari peringkat bawah memang sudah bermula dan persiapan teknikal serta pengurusan perlu dipertingkatkan kerana dengan saingan ACL 2 ini sudah tentu sumber kewangan perlu dipertingkatkan lagi.

Kita sedang tingkatkan usaha untuk cuba mendapatkan sebanyak mana penajaan untuk tahun depan, benda ini juga berkait rapat dengan kemampuan kita untuk bawa masuk pemain, kita sudah kenal pasti beberapa pemain tetapi kalau tiada duit tak dapat tandatangan juga.”

Tambahnya, pencapaian pasukan pada musim ini agak baik dengan menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sekaligus menamatkan kemarau beraksi di saingan kelab AFC.