Selangor FC anjur kempen kesedaran Hari Kanser Sedunia

347

Selangor FC menzahirkan sokongan kepada kapten mereka, Brendan Gan yang disahkan menghidapi kanser testis pada Julai tahun lalu. Sehubungan dengan itu, Selangor FC telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Hari Kanser Sedunia dengan kerjasama TDC, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Sunway Medical.

Brendan dikhabarkan telah berjaya mengatasi kanser selepas menjalani pembedahan dan beberapa rawatan kini kembali aktif berlatih bersama pasukan utama. Kempen yang diberi nama “Lets Cope with A Neon Hope” akan berlangsung pada 4 Februari 2022 itu turut menyaksikan Selangor FC akan merasmikan jersi ‘away kit’ mereka di Sunway Pyramid Convention Centre.


Ciapan Brendan Gan menunjukkan semangat juangnya melawan kanser

Objektif penganjuran Hari Kanser Sedunia ini adalah sebagai sambutan yang penuh bermakna untuk memberikan semangat baru kepada penghidap kanser, menggalakkan pencegahan melalui pemeriksaan awal serta kesedaran bahawa kanser boleh disembuhkan. Itu dibuktikan sendiri oleh Brendan dengan semangat juang yang tinggi melawan penyakitnya.

Selangor FC turut menyatakan mereka akan menyumbangkan sejumlah RM5 daripada setiap hasil penjualan jersi ‘away kit’ SFC kepada MAKNA dan juga NCSM. Inisiatif Selangor FC ini wajar dipuji dan para peminat di luar sana juga digalakkan untuk memeriahkan acara tersebut.

Selain kempen tersebut, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan seperti Meet & Greet bersama semua pemain SFC, pemeriksaan kanser secara percuma dan banyak lagi. Untuk makluman lanjut dan pendaftaran awal boleh layari neonhope.my.