Matlamat kami bukan nak juara tapi beri pendedahan dan pengalaman kepada pemain – Yusof Shah

31

Saingan liga bola sepak untuk peringkat akar umbi iaitu Liga Suparimau sudah pun membuka tirainya pada hujung minggu lalu yang menyaksikan puluhan pasukan terdiri daripada pasukan sekolah dan juga kelab bola sepak menyertainya.

Salah sebuah pasukan sekolah yang turut beraksi pada kali ini adalah Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD) di mana ketua jurulatihnya iaitu Yusof Shah berkata pihaknya tidak meletak sasaran untuk menjadi juara.


“Saya melihat dari segi pembangunan pemain untuk jangka masa panjang yang mana saya nampak mereka seronok bermain dan Suparimau ini adalah satu medium yang baik untuk mereka bersaing dengan pasukan-pasukan lebih bagus kerana jika anda lihat pasukan saya adalah satu-satunya pasukan sekolah yang bersaing dalam Suparimau kali ini.

Bagi saya walaupun mereka tidak dapat keputusan yang baik tapi satu pengalaman dan peluang bermain yang bagus untuk mereka berbanding kelab-kelab lain yang hanya memilih pemain terbaik untuk bermain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Yusof, untuk liga tahun ini SKBD membawa tiga pasukan B-9 untuk bersaing di Liga Suparimau yang berlangsung di UM Varsity, Universiti Malaya.

Dalam pada itu, beliau mengakui sukar untuk pasukannya bersaing dalam liga namun itu bukan matlamat utama mereka sebaliknya beliau mahu beri peluang kepada pemain untuk dapat minit permainan.

“Untuk menjadi juara bukan matlamat kami. Matlamat kami adalah untuk beri pendedahan dan peluang untuk mereka bermain disamping mereka dapat timba pengalaman serta tingkatkan skil permainan.”

Sementara itu, Yusof turut berkata Liga Suparimau ini adalah satu inisiatif yang cukup bagus untuk pembangunan akar umbi kerana ia dapat membantu pembangunan pemain-pemain muda mendapatkan minit permainan yang banyak.