Sabah FA mahu kekalkan kejuaraan LWN – Arziz Afizy

10

Saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim lalu terpalit dengan beberapa kontroversi namun ia sedikit pun tidak menjejaskan pasukan Sabah FA yang kekal cemerlang sepanjang musim yang menyaksikan mereka akhirnya berjaya menjulang kejuaraan liga.

Untuk musim 2024, Sabah yang mahu mengekalkan kejuaraan mereka telah tampil membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan LWN 2024.


Menurut Pengerusi Bola Sepak Wanita Sabah merangkap Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Mohd Arziz Afizy Rumsani, mereka membuat persedian lebih awal pada tahun ini termasuk akan membawa masuk beberapa nama besar untuk memperkuatkan pasukan.

“Untuk pasukan Sabah tahun ini kita sudah bersedia lebih awal dan perancangan kita untuk pasukan kali ini ada beberapa nama yang baru kita masukkan dalam pasukan iaitu Henrietta, Nadia dan Azurin.

Ini antara nama-nama yang kita akan bawa untuk pasukan bola sepak wanita Sabah untuk tahun ini dan sasaran kita untuk LWN tahun ini adalah mempertahankan kejuaraan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain tiga pemain kebangsaan yang disebut, Arziz Afizy turut mendedahkan bahawa pihak mereka kini sedang dalam usaha untuk membawa masuk seorang lagi pemain yang akan memperkuatkan pasukan, namun tidak dapat mendedahkan identiti pemain tersebut buat masa ini.

Beliau pada masa sama mengakui bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan oleh sebab itu pada tahun ini mereka telah membuat persiapan dengan lebih awal lagi iaitu sejak sebelum bulan Ramadan lagi.

Dalam pada itu, Arziz Afizy turut gembira melihat perkembangan bola sepak wanita negara ketika ini yang dilihat cukup positif.

“Perkembangan bola sepak wanita di Malaysia ketika ini sangat positif apabila kita melihat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) juga membuat satu liga untuk pembangunan bola sepak terutamanya liga puteri B-15 dan seterusnya LWN.

Ini menunjukkan bahawa bola sepak wanita di negara sangat berkembang dengan begitu cepat.”

Tambahnya lagi, tidak hanya di Sabah malah di Semenanjung juga menyaksikan bola sepak wanita bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.