Keutamaan kita adalah untuk ambil pemain warisan berkualiti sahaja – Hamidin Mohd Amin

44

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa beliau sendiri telah memaklumkan kepada barisan kejurulatihan bahawa mereka hanya boleh mengambil pemain warisan berkualiti tinggi sahaja.

“Seperti mana yang saya maklum kepada semua barisan kejurulatihan dari pasukan senior sehingga pasukan remaja, kita akan ambil pemain warisan berkualiti tinggi untuk mewakili negara.

Tetapi ingat kita tidak akan sama seperti negara jiran seperti Filipina dan Indonesia kerana mereka mempunyai banyak pemain warisan yang boleh mereka pilih iaitu kualiti dan kuantiti, manakala kita pula sangat terhad,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hamidin juga mengambil maklum mengenai dakwaan kononnya pihak FAM tidak mengambil inisiatif untuk hubungi pemain-pemain berdarah kacukan yang beraksi di luar negara ketika ini.


“Banyak yang tipu kerana counsel saya iaitu Christopher Raj yang memantau perkara ini telah melihat dan yang terbaru ini pun pemain ini kita ‘PM’ dia pun dia tak jawab dan kita juga dapat tahu dia tidak mempunyai mak atau ayah daripada Malaysia, jadi banyak yang tipu.”

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa terbuka untuk mengambil pemain warisan sekiranya pemain itu berkualiti.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai inisiatif yang dilakukan oleh Presiden Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir yang membawa masuk ramai pemain warisan berpengkalan dari Eropah yang mana ia telah menyaksikan bola sepak negara itu naik dengan drastik.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengambil maklum mengenai tindakan PSSI iaitu menggabungkan skuad senior dan junior yang menyaksikan ia berjaya menghasilkan keputusan yang positif, tapi berkata ia masih tidak sesuai untuk diterapkan di sini.

“Mungkin ia sesuai di Indonesia ketika ini tapi mungkin tak sesuai di Malaysia jadi kita kena lihat terlebih dahulu kerana tak semestinya apa yang berjaya di Indonesia boleh diterapkan di Malaysia.”

Sementara itu, beliau juga terbuka sekiranya mahu mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Indonesia sekiranya ada peluang nanti.