Siapa pegang jawatan perlu terima sebarang kritikan – Hamidin Mohd Amin

27

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu sesiapa sahaja yang memegang jawatan dalam badan induk bola sepak negara perlu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan.

Menurut Hamidin, beliau sendiri juga tidak terlepas daripada dikritik namun beliau terbuka dengan sebarang kritikan yang dilontarkan kepadanya.


“FAM sering dikritik, bila kalah dikritik, bila menang kadang-kadang dipuji dan ini berlaku dari dahulu lagi, jadi kesudahannya hendak membawa bola sepak Malaysia perlu ada dokongan daripada semua pihak termasuk penyokong untuk kita ada mengimpikan satu kejayaan untuk menghidu pergi ke Piala Dunia satu hari nanti.

Jadi ia perlukan sokongan daripada kerajaan, daripada semua pihak dan juga media serta penyokong.

“Itulah bola sepak di Malaysia jadi kita kena terima yang mana sesiapa yang pegang jawatan kena terima kritikan termasuk saya. Sampai masanya kita akan pergi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain memegang jawatan sebagai Presiden FAM, Hamidin juga merupakan Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan juga Chef de Mission kontinjen Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik 2024 Paris.

Dalam pada itu, Hamidin turut memberi pandangannya mengenai dua sukan paling popular di Malaysia iaitu bola sepak dan badminton yang mana beliau mengatakan sukan bola sepak akan sentiasa menjadi sukan nombor satu negara walaupun bukan berkelas dunia.

“Saya fikir badminton sebab pemain-pemainnya bertaraf dunia, pasukan Malaysia (bola sepak) pula sukar untuk pergi ke peringkat dunia atau Piala Asia tapi orang minat bola sepak ini sangat ramai berbanding sukan lain ketika ini.

Jadi saya fikir bola sepak tetap nombor satu walaupun ada yang suka atau tidak kerana populariti sangat tinggi.”