Kalau gagal kelayakan Piala Dunia, KPG akan fokus pada kelayakan Piala Asia 2027 – Hamidin Mohd Amin

76

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon akan terus kekal mengemudi Harimau Malaya biarpun gagal untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Ini kerana menurut Hamidin, jika gagal ke pusingan ketiga skuad negara masih mempunyai satu lagi sasaran iaitu untuk kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.


“Kita perlu lihat bahawa sasaran awal kita adalah untuk layak ke Piala Asia, andai kata kita kalah pada bulan Jun nanti kita ada satu lagi pusingan untuk persiapan Piala Asia di Arab Saudi, di mana itu adalah tempat paling minimum kita.

Kalau kita menang dengan Kyrgyzstan dan Taiwan, maknanya kita mendapat bonus yang mana kita cipta sejarah untuk masuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan ini tidak pernah terjadi dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Andai kata kita gagal KPG akan fokus kelayakan untuk ke Piala Asia 2027, jadi kita ada lagi satu peluang di situ,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hamidin berkata beliau akan terus meletakkan kepercayaan 100 peratus dan keyakinan kepada Pan-gon dan barisan kejurulatihannya untuk mengemudi skuad negara.

Dalam pada itu, Hamidin turut menyangkal dakwaan kononnya pengendali daripada Korea Selatan itu ingin mengundurkan diri dan berkata laporan mengenai perkara itu adalah satu fitnah.

“Pertama beliau tidak pernah menyatakan mahu undur diri kerana beliau mahu habiskan kontraknya sampai hujung tahun depan.

Laporan sebelum ini adalah satu fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab yang berkata beliau nak undur diri dan saya fikir beliau masih mampu untuk bawa pasukan, jadi kita biarkan beliau selesaikan tugasnya sehingga habis kelayakan.”

Skuad negara kini berdepan laluan sukar selepas tewas dalam dua perlawanan menentang Oman baru-baru ini.

Berikutan itu, skuad negara perlu memastikan kemenangan menjadi milik mereka dalam aksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada bulan hadapan jika mahu mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2027 dan layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.