Kita doa dan berusaha dahulu untuk beliau (Mickey) cepat sembuh sebelum kita lihat perkembangan seterusnya – Hamidin Mohd Amin

11

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berasa cukup sedih dengan kejadian yang menimpa pemain sensasi kebangsaan Faisal Halim yang mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid baru-baru ini.

Menurut Hamidin, beliau yang mengikuti rapat perkembangan pemain yang diberi gelaran Mickey itu meminta agar orang ramai dapat terus mendoakan agar pemain itu kembali pulih.


“Beliau seorang pemain yang ceria dan sudah tentu dengan kejadian yang berlaku begitu sedih. Saya juga melihat beliau dari hari pertama, tapi apa-apa pun kita mesti mendoakan beliau supaya beliau cepat sembuh.

Kita harap doktor dapat memberikan rawatan terbaik kepada beliau, jadi kita berdoa dulu dan berusaha terlebih dahulu baru kita lihat perkembangan seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Insiden malang yang berlaku itu sekaligus menyaksikan pemain harapan negara itu tidak akan dapat menyarung jersi Harimau Malaya untuk baki dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada bulan Jun ini.

Terdahulu dunia bola sepak tanah air digemparkan dengan insiden samun yang berlaku kepada pemain kebangsaan iaitu Akhyar Rashid dan tidak lama kemudian Faisal pula menjadi mangsa khianat disimbah asid oleh dua individu yang tidak dikenali.

Faisal yang dirawat di sebuah hospital swasta di Shah Alam kini dilaporkan berapa dalam keadaan stabil selepas menjalani beberapa pembedahan.

Diharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan agar pemain kesayangan negara itu dapat kembali pulih seperti sedia kala.