Zamsaham tak setuju Rezal Zambery digantung oleh FAM

238

Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak bersetuju dengan keputusan penggantungan dua bulan terhadap ketua jurulatihnya Rezal Zambery Yahya gara-gara mengeluarkan komen tanpa kebenaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Norizam atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham, beliau berpendapat bahawa Rezal Zambery memberi kritikan membina kerana ia membabitkan mutu pengadilan di Liga Malaysia.


“Tidak dapat dinafikan kita sememangnya mempunyai sifat tidak suka dikritik tetapi kita perlu berlapang dada dengan kritikan kerana ia akan membina kita menjadi lebih baik.

Terus terang saya cakap yang Rezal mengkritik mutu pengadilan yang teruk, jadi pihak FAM yang perlu bersikap tegas dan menyusun sepenuhnya bagaimana mutu pengadilan dijaga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, sekiranya mutu pengadilan Liga Malaysia dapat dipertingkatkan ia secara tidak langsung akan mempertingkatkan lagi kualiti liga tempatan.

Pada Disember lalu, FAM telah membuat keputusan tersebut selepas mendapati Rezal Zambery telah melanggar Artikel 61 Kod Tataterbit FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM atas tindakannya yang membuat kenyataan berhubung isu yang melibat FAM tanpa kebenaran yang mana kenyataan yang dibuat beliau secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM.

Sehubungan itu, pengendali skuad The Red Warrior itu telah dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya selain dedenda sebanyak RM10,000.

Terdahulu ketika perlawanan Piala Malaysia membabitkan pasukan Kelantan dan Sabah yang berlangsung pada September tahun lalu Rezal Zambery secara terbuka mengkritik mutu pengadilan yang teruk apabila pengadil menghadiahkan dua penalti kepada pasukan lawan.