Tunku Syed Razman terajui NSFC kerana mahu elak campur tangan orang politik

321

Presiden Perbadanan Negeri Sembilan (PBNS), YTM Tunku Syed Razman sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk sepenggal lagi.

Menurut Tunku Syed Razman, pembabitannya dalam skuad NSFC adalah untuk mengelak campur tangan orang politik dalam dunia bola sepak.


“Penglibatan awal saya dalam NSFC ialah untuk tidak mempolitikan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan kerana saya lebih bersikap neutral dan Alhamdulillah di penggal yang lepas kita berjaya bawa pasukan ke arah sekarang ini tanpa campur tangan dari luar atau orang politik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa sama Tunku turut bersyukur apabila terus mendapat kepercayaan untuk menerajui pasukan sepenggal lagi iaitu dari tahun 2022 hingga 2025.

“Selaku Presiden apa yang telah diamanahkan kepada saya akan saya diteruskan termasuk hala tuju yang mana kita akan memberi tumpuan kepada program akar umbi bagi memastikan dapat melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti.”

Dalam pada itu, Tunku turut memberitahu bahawa pihaknya menjadikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang diterajui oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai role model untuk membina sebuah pasukan profesional bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan membuat rundingan dengan beberapa pihak yang berminat untuk mengambil alih NSFC.

Tambahnya lagi selepas proses pemisahan (penswastaan) selesai, beliau akan memberi fokus pada persatuan bola sepak negeri sahaja.

“Selepas penswastaan sepenuhnya, kami akan membiarkan NFSC menentukan hala tuju mereka sendiri dan saya pasti mereka akan mempunyai pusat latihan yang canggih dan stadium sendiri.”