NSFC akan fokus pada pembangunan bola sepak wanita – YTM Tunku Syed Razman

359

Presiden Negeri Sembilan FC (NSFC), YTM Tunku Syed Razman berkata pada musim ini beliau dan barisan exco akan memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak wanita.

“Seperti yang anda tahu perkembangan bola sepak wanita NSFC menunjukkan prestasi yang bagus, jadi saya sudah pun meminta barisan exco saya kali ini untuk fokus pada pembangunan bola sepak wanita dan fustsal kerana mereka bersaing hebat ketika ini.

Pada masa sama kita juga akan beri tumpuan pada program pembangunan akar umbi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tunku Syed Razman berkata demikian selepas pasukan NSFC wanita telah mencipta sejarah apabila berjaya menjuarai Women’s Super League yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor baru-baru ini.


Dalam pada itu, beliau juga sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan NSFC mengenai penganjuran liga bola sepak wanita.

“Saya berterima kasih dengan usaha Presiden FAS dan saya juga sudah beberapa kali mengadakan perbincangan untuk mewujudkan saingan liga bola sepak di negeri ini. Dengan ada saingan liga bola sepak wanita ini kami dapat mencungkil lebih ramai bakat pemain wanita.”

Buat masa ini beliau masih belum menyuarakan pandangannya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan saingan liga bola sepak wanita di peringkat kebangsaan, sebaliknya mahu fokus pada Negeri Sembilan terlebih dahulu.

Pada masa sama beliau juga memberi bayangan bahawa pihak NFSC berkemungkinan akan mengikat kontrak dengan pemain-pemain wanita untuk bernaung di bawah NSFC sekaligus memberi mereka peluang untuk mengembangkan lagi karier bola sepak mereka.

Untuk memastikan bola sepak wanita mendapat pendedahan dari segi komersial, isterinya iaitu YM Tunku Sharlita Binti Omar telah dilantik sebagai penasihat pasukan bola sepak wanita.

Tunku Sharlita mempunyai pengalaman dalam bidang sukan ketika bekerja di stesen televisyen pada satu ketika dahulu.

Dengan pengalaman yang ada, Tunku Syed Razman percaya isterinya mampu melonjakkan lagi skuad bola sepak wanita Negeri Sembilan.