Annil Vigneswaran naik pangkat, kini bersama SV Sandhausen di 2.Bundesliga Jerman

5,282

Nama Annil Vigneswaran mungkin kurang dikenali peminat bola sepak tempatan.

Pemain berusia 18 tahun ini pertama kali mendapat perhatian apabila disenaraikan oleh jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Brad Maloney untuk ke Kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun yang berlangsung di Mongolia.


Ramai peminat tertanya-tanya siapakah sebenarnya pemain muda yang beraksi di bahagian pertahanan ini. Ada juga cakap-cakap yang mempersoalkan apa kredibiliti beliau sehingga dipilih menjadi sebahagian daripada skuad kendalian jurulatih dari Australia itu.

Annil merupakan seorang pemain Malaysia yang berkelana di bumi Jerman. Sebelum menyertai SV Sandhausen, beliau merupakan pemain bagi kelab divisyen kelima iaitu SGV Freiberg. Namun, beliau tidak mempunyai sebarang minit perlawanan dengan pasukan utama.

Sumber: Annil Vigneswaran FB

Mengikut carian di laman sosial Sandhausen, tidak terdapat berita rasmi mengenai perpindahan pemain yang berasal dari Kajang ini. Namun, hasil perkongsian daripada laman Instagram milik pemain ini, beliau memakai pakaian rasmi kelab berlatar belakangkan logo kelab divisyen kedua Jerman itu.

Berkemungkinan besar beliau akan beraksi bersama pasukan belia kelab yang menamatkan saingan liga 2.Bundesliga di kedudukan ke-15 daripada 18 pasukan bertanding pada musim lalu.

Biarpun peluang untuk bermain untuk pasukan utama masih kelihatan samar, namun berita perpindahan ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa sememangnya pemain ini mempunyai kualiti. Siapa tahu beliau akan menjadi antara tonggak utama dalam saingan Piala Asia bawah 23 tahun di Uzbekistan nanti.