Liga Malaysia perlu lahirkan lebih ramai penyerang tempatan berkualiti

831

Sejak pengenalan semula pemain import dalam saingan Liga Malaysia, negara ketandusan pemain penyerang prolifik berikutan posisi itu sering didominasi oleh pemain import.

Bukan hendak mengkritik atau menuding jari kepada sesiapa tetapi itulah realiti yang berlaku ketika ini yang mana kita mempunyai ramai pemain penyerang tetapi mereka tidak mendapat peluang untuk turun beraksi.


Apabila tidak mendapat minit permainan, bagaimana seseorang penyerang itu hendak berikan yang terbaik apabila diturunkan terutamanya apabila dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan.

Sejak beberapa tahun lalu, skuad Harimau Malaya masih belum mempunyai seorang penyerang berkualiti bagi menggantikan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

Kekurangan di bahagian serangan ternyata memberi impak kepada skuad negara dan ia sudah terbukti dengan prestasi buruk skuad negara tahun lalu.

Liga Malaysia sepatutnya menjadi tempat untuk melahirkan ramai pemain tempatan terutamanya penyerang berkualiti, tetapi sebaliknya berlaku.

Jika dilihat pada musim ini dalam saingan Liga Super, hanya tiga penyerang tempatan sahaja diberikan kepercayaan untuk turun dalam kesebelasan utama iaitu Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri dan Darren Lok.

Penyerang paling menyerlah ketika ini adalah Darren Lok yang mana beliau semalam telah menjaringkan hatrik ketika membantu pasukannya PJ City FC membenam Terengganu FC yang dibarisi penyerang-penyerang import dengan jaringan 3-0 di laman sendiri.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Darren ini sangat dinanti-nantikan oleh ramai penyokong berikutan beliau sebelum ini terlepas dua kali untuk menyarung jersi Harimau Malaya dek kecederaan dan jangkitan COVID-19.

Jika Darren mempamerkan aksi bertenaga seperti yang dipamerkan semalam, tidak mustahil beliau akan sekali lagi menjadi pilihan utama ketua jurulatih negara Kim Pan-gon untuk mengetuai bahagian serangan.

Selain Darren, seorang lagi penyerang yang memperlihatkan prestasi cemerlang adalah Syafiq Ahmad.

Beliau yang sebelum ini bermain untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) berhijrah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) secara pinjaman kerana mahukan minit permainan.

Peluang yang datang tidak dipersia-siakan oleh beliau apabila Syafiq kembali mendapat rentaknya semula dan sering menimbulkan masalah kepada pemain pertahanan lawan.

Ada segelintir penyokong yang menggelarnya ‘Raja Tanduk’ berikutan beliau banyak menjaringkan gol menerusi tandukan.

Susulan prestasi cemerlang sejak awal musim, Syafiq kini telah mendapat kepercayaan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak yang mana beliau kini menjadi penyerang utama bergandingan dengan penyerang import Ronald Ngah Wanja.

Bagaimanapun berbeza pula dengan penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri yang tidak menggunakan peluang yang diberikan untuk mempamerkan kemampuannya untuk merobek gawang lawan.

Pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) baru-baru ini, jelas kelihatan Shahrel bukan lagi penyerang yang tangkas dan berbahaya seperti dahulu.

Selain perlahan, beliau juga ‘malas’ untuk bertahan apabila kubu Selangor diserang pihak lawan. Melihat aksi di Paroi, walaupun ada sumbangannya seperti membuat hantaran silang berkualiti tetapi ternyata Shahrel kelihatan seperti tidak cergas lagi serta tidak dapat menghabiskan permainan kerana mengalami kecederaan.

Mungkin prestasi beliau akan meningkat dari semasa ke semasa? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Ini kerana sekiranya ketiga-tiga penyerang ini dapat mempamerkan aksi yang memukau dan konsisten sepanjang musim ini, ia akan memberi lebih pilihan kepada Kim Pan-gon di bahagian serangan pasukan kebangsaan.