UiTM FC sah tak bayar gaji pegawai dan pemain hampir empat bulan

1,570

Nampaknya isu tunggakan gaji mula merebak dalam Liga Perdana dan terbaru berlaku pada pasukan bola sepak berstatus universiti iaitu UiTM FC yang kini hampir empat bulan tidak bayar gaji pegawai dan pemain.

Perkara itu disahkan sendiri pemain pertahanan kiri UiTM FC, Faris Zabri yang mana beliau sendiri mengakui faham dengan situasi pihak pengurusan ketika ini.


“Ya memang gaji ada tertunggak dan bulan ni masuk bulan keempat. Tapi InsyaAllah tunggakan gaji ini UiTM akan selesai dalam masa terdekat ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Faris, walaupun dia dan rakan sepasukan tidak dapat gaji, namun semangat mereka apabila setiap kali turun beraksi tidak pernah berubah.

“Saya dan rakan sepasukan, bagi kami gaji nombor dua, yang penting kami nak main bola sepak.”

Dalam pada itu, Faris yang juga merupakan pelajar di UiTM Shah Alam dalam jurusan Sains Sukan turut mengakui akan menandatangani kontrak sebagai staff UiTM, bagaimanapun dalam kontrak itu meletakkan jawatan mereka sebagai pemain.

Keputusan untuk menyerap mereka sebagai staf nyata tidak menyenangkan segelintir pihak yang merasakan keputusan itu tidak adil.

Terdahulu pasukan yang diberi jolokan The Lions Troops dilaporkan bakal menarik diri dari saingan Liga Perdana kerana tidak mempunyai bajet.

Bagaimanapun mereka diselamatkan di saat-saat akhir apabila mendapat dana berjumlah RM3.7 juta.

Pada musim ini mereka kembali kepada tujuan asal penubuhan UiTM FC iaitu menggunakan seratus peratus pelajar UiTM sebagai pemain pasukan.

Selain skuad yang beraksi di Liga Perdana, UiTM FC juga mempunyai skuad Piala Belia dan Piala Presiden yang bersaing pada musim 2022.