JR Resources sah pemilik baru Perak FC

23,236

Setelah sekian lama ternanti-nanti perkembangan mengenai pemilik baru Perak FC, peminat kini boleh menarik nafas lega apabila sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu JR Resources sudah di peringkat akhir untuk mengambil alih pasukan itu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC), Muhammad Yunus Zakariah.


“Ya saya dapat sahkan yang syarikat JR Resources akan menjadi pemilik baru Perak FC. Ketika ini kami sudah hampir mencapai kata putus untuk proses pengambil alihan yang dijangka akan diketahui pada hari ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga berharap proses pengambil alihan akan berjalan dengan lancar kerana mereka nekad untuk melepaskan pasukan itu kerana tidak lagi mampu untuk menguruskan kelab itu.

Pada masa sama Yunus turut tampil menyangkal dakwaan kononnya dianugerah hartanah dan aset milik kerajaan negeri termasuklah konsesi pasir.

Dalam pada itu, menurut satu sumber kemelut yang berlaku dalam pasukan yang diberi jolokan The Bos Gaurus ini adalah satu konspirasi membabitkan banyak pihak termasuk seorang bekas pemain dan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri.

Pelbagai teori dan spekulasi yang timbul apabila berita Perak mengalami masalah kewangan yang parah tersebar.

Ada yang berkata ada campur tangan politik, ada yang berkata ada pihak yang mahu gunakan Perak sebagai tempat mereka ‘cari duit’ dan bermacam-macam lagi.

Tiada satu perkara pun yang dapat disahkan lagi buat masa ini, tetapi peminat kini lebih berminat untuk melihat pasukan kegemaran mereka keluar dari masalah tunggakan gaji.

Ini kerana pasukan kendalian Yusri Che Lah kini sudah pun mula dikenakan pemotongan tiga mata selepas gagal membayar tunggakan gaji oleh Malaysian Football League (MFL). Pemotongan enam mata akan selepas tempoh yang diberikan tamat.

Malah Perak berkemungkinan besar akan turun ke saingan Liga M3 jika gagal mencari jalan penyelesaian.