Fans setkan KPI, terpulang kepada kelab untuk libatkan penyokong atau tidak – Datuk Ong Kim Swee

1,176

Baru-baru ini penyokong bola sepak tanah air kecoh di sosial media apabila tular satu rakaman video penyokong Ultras Selangor yang memaki hamun pemain import Selangor daripada Singapura, Safuwan Baharudin.

Rata-rata peminat merasakan tindakan peminat tersebut melampaui batas dan isu tersebut telah mencetuskan perdebatan dalam sosial media.


“Isu ini melibatkan kelab-kelab tertentu sahaja. Ada baik dia dan ada perkara kita perlu fikirkan,”

kata jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kepada Harimau Malaya.

Menurut Kim Swee, peristiwa ini sesuatu perkara yang jarang berlaku di dalam liga bola sepak negara ini.

Hal ini kerana kebiasaannya, penyokong tidak akan memaki hamun pasukan yang disokongi mereka ketika mereka menang, tetapi sebaliknya yang berlaku pada perlawanan Selangor FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mana Selangor menang selesa dengan 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Menurut Kim Swee, apabila peristiwa seperti itu berlaku ia terpulang kepada persatuan untuk mengenal pasti tindakan yang perlu diambil bagi memastikan perkara seperti itu tidak lagi berulang.

“Tidak dinafikan penyokong memainkan peranan yang penting dalam sesuatu pasukan. Namun demikian, penyokong perlulah menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menasihati pemain-pemain ataupun pihak pengurusan kelab kesayangan mereka.

“Saya akan sentiasa mempertahankan pemain, pegawai dan kelab yang saya wakili. Saya tidak mengatakan saya bukan berada dalam kelompok penyokong tapi saya harus tahu pemain, pegawai kelab merupakan agenda utama saya.”

Insiden pergaduhan mulut itu telah membuka kepada perbincangan bahawa sejauh mana peminat dibenarkan untuk terlibat dalam pengurusan kelab.

Pada akhirnya keputusan itu terpulang kepada kelab untuk mengenal pasti bagaimana mereka mahu mengelakkan atau mengawal insiden seperti itu daripada berlaku di masa akan datang.