Keputusan MFL mahu tunda Liga Malaysia adalah keputusan yang tepat – Nik Akif

4,388

Pemain muda Terengganu FC, Nik Akif Syahiran menyambut baik keputusan Malaysian Football League (MFL) yang mahu tunda Liga Malaysia buat seketika waktu.

MFL berbuat demikian kerana mahu memberi laluan kepada pemain yang dipanggil untuk menyertai latihan pusat Harimau Malaya untuk Sukan SEA, Hanoi pada Mei depan.


“Bagi saya bagus pihak MFL tunda perlawanan Liga Malaysia kerana dapat beri peluang kepada pemain-pemain B-23 beraksi kerana kita perlu buat yang terbaik untuk Sukan SEA,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nik Akif turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila namanya turut dipanggil oleh ketua jurulatih Brad Maloney yang mana temasya kali ini merupakan yang terakhir buat dirinya.

Pada masa sama beliau juga berharap agar pasukan-pasukan dapat melepaskan pemain yang dipanggil walaupun Sukan SEA tiada dalam kalender Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Terdahulu, MFL dikatakan terpaksa membuat keputusan drastik untuk mengubah jadual liga berikutan hanya lima pemain sahaja yang melaporkan diri untuk latihan pusat.

Lima pemain itu adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Untuk skuad B-23 kali ini, Maloney telah memanggil sebanyak 31 pemain yang mana pemain Selangor FC paling ramai dipanggil iaitu 11 pemain, Terengganu FC (9), Johor Darul Ta’zim (4), KL City FC (2), Projek FAM-MSN (1), Negeri Sembilan FC (1), Kedah Darul Aman FC (1).

Maloney turut memanggil dua pemain yang berpengakalan di luar negara iaitu Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh.