Pemain Singapura yang beraksi di Liga M pamer aksi cemerlang di Piala AFF Suzuki 2020

211

Tidak dapat dinafikan pasukan bola sepak kebangsaan Singapura kini berada dalam prestasi terbaik sepanjang mengharungi Piala AFF Suzuki 2020 yang kini sedang berlangsung di Singapura menyaksikan pasukan kendalian jurulatih dari Jepun, Tatsuma Yoshida kini sudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas tiga perlawanan dalam kumpulan A.

Berbaki satu perlawanan terakhir di peringkat kumpulan, skuad The Lions kini sedang giat membuat persiapan untuk berdepan dengan sebuah lagi pasukan gergasi Asia Tenggara iaitu Thailand untuk merebut gelaran juara kumpulan A selepas kedua-dua pasukan kini berkongsi 9 mata selepas tiga perlawanan.


Menariknya dalam skuad kebangsaan Singapura kali ini menampilkan tiga pemain yang beraksi di Liga Super Malaysia mempamerkan aksi yang cukup memukau untuk memastikan The Lions mengekalkan rekod tanpa kalah selepas bertemu dengan Myanmar, Filipina dan Timor-Leste.

Mereka adalah Safuwan Baharudin, Anumathan Kumar dan Shakir Hamzah dan lebih menarik lagi ketiga-tiga mereka ini bermain di posisi pertahanan untuk pasukan besar di Liga Super Malaysia.

Safuwan Baharudin

Sumber foto: Safuwan Baharudin Facebook

Muhammad Safuwan Baharudin adalah seorang pemain pertahanan tengah mula bermain di Liga Super Malaysia pada tahun 2015 bersama Lions XII sebelum dia dipinjamkan ke PDRM FA pada tahun 2016. Kehebatan Safuwan beraksi di posisi pertahanan telah berjaya memikat pasukan Pahang FA (Sri Pahang FC) yang merupakan naik juara Liga Super pada tahun 2018. Sepanjang bermain untuk Pahang, dia telah membantu pasukan menjulang Piala FA pada tahun yang sama.

Selepas kontraknya tamat, beliau telah menyertai pasukan Selangor FC untuk musim 2020 sebagai kapten pasukan. Walaupun bermain di bahagian pertahanan, namun dia mempunyai kebolehan untuk bertindak sebagai pemain pertahanan dan juga penyerang jika diperlukan.

Sepanjang kariernya, Safuwan telah menjaringkan 39 gol bersama kelabnya dan 12 gol untuk negaranya. Ia membuktikan beliau bukan sahaja kental ketika bertahan tetapi juga mempunyai naluri ‘pembunuh’ di hadapan pintu gol lawan.

Anumanthan Kumar

Sumber foto: Kedah Darul Aman FC Facebook

Nama Anumanthan Mohan Kumar atau lebih dikenali sebagai Anu memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Young Lions pada tahun 2012 dan kehebatannya telah berjaya menarik banyak tawaran dari hampir kesemua kelab di S.League yang mahukan khidmatnya di bahagian pertahanan.

Anu akhirnya telah menandatangani kontrak bersama Hougang United untuk musim 2016 dan telah berjaya merangkul anugerah Pemain Muda Terbaik pada tahun tersebut dan menjadi pemain Singapura yang memenangai anugerah tersebut dalam enam tahun selepas Harris Harun memenanginya pada 2010.

Beliau kemudian berhijrah ke Home United pada tahun 2017 dan pada tahun kemudiannya beliau telah berjaya membawa Home United memenangi AFC Asian Cup Asean Zonal Championship buat kali pertama selain memainkan peranan utama dalam menduduki tempat kedua di Liga Premier Singapura pada tahun yang sama.

Kehebatan Anu yang tidak dapat disangkal itu telah menarik perhatian pengendali pasukan gergasi utara Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak yang merupakan jurulatih dan bekas pemain Singapura untuk menandatanganinya untuk musim 2021. Anu tidak menunggu lama untuk menarik perhatian peminat tempatan dengan aksi bertenaganya sepanjang mempertahankan kubu Kedah. Bagaimanapun selepas tamat Liga Super untuk musim 2021, peminat Kedah sedih apabila mendapat tahu khidmat Anu tidak lagi akan digunakan untuk musim hadapan. Ketika ini masih tiada sebarang perkembangan atau berita ke mana Anu akan bermain pada musim hadapan.

Shakir Hamzah

Sumber foto: Kedah FA Facebook

Nama Shakir Hamzah tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan peminat bola sepak di Malaysia ini kerana semua sedia maklum dengan kemampuan pemain ini yang sentiasa mempamerkan aksi kental setiap kali berada di atas padang.

Shakir mula mencipta nama menerusi Young Lions di S. League sebelum ia berpindah ke skuad baru iaitu Lions XII pada tahun 2012 di Liga Super. Pada tahun 2013 beliau berjaya membawa pasukannya memenangi Liga Super pada tahun 2013.

Selepas Lion XII dibubarkan, Shakir telah menyertai Tampines Rovers selama dua tahun sebelum berhijrah ke Home United pada tahun 2018. Bagaimanapun nama Shakir semakin melonjak selepas beliau menandatangani kontrak bersama Kedah Darul Aman FC pada tahun 2019 yang mana menyaksikan musim pertamanya sebagai pertahanan tengah telah berjaya membawa Kedah merangkul Piala FA 2019.

Selepas semusim bersama Kedah, Shakir mengubah angin dengan bermain untuk sebuah lagi pasukan gergasi utara iaitu Perak FC, namun tidak bertahan lama apabila beliau akhirnya menandatangani kontrak dengan Tanjong Pagar United.