Percaturan KDA FC potong bajet untuk musim 2022 umpama ‘tempah maut’?

368

Pasukan gergasi utara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru sahaja mengumumkan bajet tahunan kelab untuk mengahadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim hadapan.

Bajet KDA FC pada musim 2022 telah dipotong daripada RM30 juta kepada RM22 juta sahaja. Menurut Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pengurangan bajet terpaksa dilakukan bagi memastikan tiada lagi masalah kewangan dan tunggakan gaji berlaku.


Terdahulu KDA FC berdepan masalah kewangan apabila gagal membayar gaji pemain selama beberapa bulan ketika kempen TM Piala Malaysia berlangsung. Bagaimanapun tunggakan gaji itu diselesaikan sebelum KDA FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir.

Sumber foto: Kedah Darul Aman FC Facebook

Rombakan pasukan telah di buat oleh KDA FC dengan melepaskan pemain-pemain yang bergaji tinggi termasuk melepaskan dua utama KDA FC sejak sekian lama iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang sah telah berhijrah ke pasukan Sabah FC.

Walaupun berita pengurangan bajet oleh KDA FC ini disambut baik oleh peminat kerana pihak pengurusan bersungguh-sungguh mahu mengelak masalah tunggakan gaji berulang, pada masa sama timbul juga kerisauan berikutan musim hadapan mereka akan bermain di Piala AFC yang mana peminat tidak mahu pasukan kesayangan mereka menjadi pelengkap jadual sahaja sebaliknya mahu KDA FC dapat memberi saingan sengit kepada pasukan yang bertanding.

Mungkin percaturan KDA FC ini tampak seperti ‘menempah maut’ sendiri tetapi pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak pasti mempunyai perancangan dalam merencana strategi terbaik untuk memastikan skuad Hijau Kuning mampu memberi cabaran hebat bukan sahaja di Liga Malaysia dan juga di Piala AFC.

Sumber foto: Kedah Darul Aman FC Facebook

Walaupun tidak berbelanja besar membawa masuk ramai pemain bintang, namun KDA FC yakin pemain-pemain tempatan yang dipilih mempunyai kualiti yang mampu mengisi tempat kosong yang ditinggalkan pemain terdahulu.

Biarpun keputusan pengurusan KDA FC pada musim ini mungkin mengecewakan segelintir peminat tetapi ramai yang menyokong tindakan KDA FC yang dilihat bersungguh-sungguh mahu perubahan pada pasukan KDA FC ke arah lebih maju dan berjaya.