Belum boleh dabik dada, JDT jadi pentas uji kemampuan sebenar ‘ubi muda’ Selangor FC

3,751

Selangor FC tampil bertenaga membenam pasukan Sarawak United FC 7-0 pada perlawanan minggu ke-10 Liga Super Malaysia.

Kepulangan ketua pasukan, Brendan Gan yang turut menjaringkan gol pembukaan jelas menjadi antara motivasi terbaik untuk pasukan Gergasi Merah itu.


Selain daripada itu, nadi kepada persembahan menakjubkan oleh pasukan Selangor adalah kemasukan sembilan ‘ubi muda’ termasuk dua pemain import, Hein Htet Aung dan Alex Agyarkwa.  

Pemain-pemain muda ini jelas menunjukkan aksi terbaik dalam membantu pasukan Selangor mengawal permainan seawal minit pertama.

Ketua pasukan B-23 negara, Mukhairi Ajmal antara yang mencuri tumpuan menerusi gandingan mantapnya bersama Hteit Aung dan Agyarkwa mengemudi bahagian tengah pasukan.

Namun, pasukan Selangor belum boleh mendabik dada meskipun mencapai kemenangan yang besar.

Ini kerana, pasukan lawan jelas tidak berada di dalam condisi terbaik, setelah tewas tujuh kali dan berada di kedudukan bawah liga.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) akan menjadi lawan seterusnya untuk pasukan Selangor apabila kedua-dua pasukan ini dijadual bertemu pada 24 Jun di Stadium Sultan Ibrahim.

Ini akan menjadi pentas terbaik bagi ketua jurulatih Selangor dari Jerman, Michael Feichtenbeiner untuk menguji kemampuan pemain muda beliau dalam menyerap tekanan berhadapan dengan lawan yang jauh lebih kuat.

JDT akan dibarisi oleh pemain-pemain berkualiti yang akan memberi saingan yang hebat, tetapi pemain-pemain muda Selangor juga sudah mempamerkan aksi cemerlang antaranya Aliff Haiqal yang berjaya membuka akaun jaringannya semalam.

Di atas kertas, kemenangan dilihat berpihak kepada pasukan JDT berdasarkan prestasi semasa pasukan tersebut selaku kelab terbesar negara.

Tambahan pula, persembahan yang kurang konsisten oleh pasukan Selangor yang hanya berjaya mendapatkan 11 mata daripada enam perlawanan sedikit menggusarkan peminat.

Walaubagaimanapun, ramai peminat tetap meletakkan harapan agar gandingan pemain senior dan junior yang dimiliki Selangor pada ketika ini mampu memberikan keputusan yang positif sekurang-kurangnya seri seperti yang dilakukan oleh pasukan Sri Pahang FC sebelum ini.

Khidmat ‘ubi muda’ ini akan terus ditagih meskipun terdapat kemungkinan beberapa pertukaran akan dilakukan oleh pengendali dari Jerman itu untuk membariskan pemain seperti Shahrel Fikri dan Safuwan Baharudin yang telah pulih dari kecederaan.

Dalam pada itu, prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh barisan pemain muda Selangor menjadi petanda positif untuk masa depan skuad B-23 negara.

Seramai sembilan orang pemain dari skuad Selangor telah dipilih untuk mewakili pasukan B-23 negara di kejohanan Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23 di Uzbekistan baru-baru ini.