Giliran Thailand pula ikut jejak langkah negara jiran lantik jurulatih dari Korea Selatan?

30,081

Nampaknya trend menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan nampaknya menjadi semakin popular dan ia menjadi ikutan beberapa negara yang telah memperlihatkan peningkatan prestasi termasuklah Malaysia yang turut menggunakan khidmat Kim Pan-gon.

Terbaru pasukan gergasi Asia Tenggara iaitu Thailand juga dikatakan akan mengikut jejak langkah seperti Vietnam, Malaysia dan Indonesia untuk menggunakan khidmat jurulatih dari Korea.


Penukaran jurulatih baru oleh skuad Gajah Perang ini bakal dibuat berikutan kegagalan ketua jurulatih Brazil-Jerman, Alexandre Polking untuk meningkatkan ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) secara signifikan.

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dilaporkan dalam perancangan untuk membawa masuk Yoon Deok-yeo untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih baru.

Deok-yeo merupakan bekas ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan wanita Korea yang mana beliau pernah membawa pasukan itu beraksi di Piala Dunia Wanita pada tahun 2015 dan 2019.

Selain itu, beliau juga pernah mengendalikan beberapa kelab ternama di K-League antaranya Pohang Steelers, Ulsan Hyundai, Gyeongnam FC dan Chunnam Dragons.

Malah bekas pemain kebangsaan Korea itu juga dikatakan menunjukkan minat untuk berhijrah ke Thailand, namun semuanya kini terletak di tangan FAT samada benar-benar mahukan khidmat Deok-yeo atau tidak.

Terdahulu pasukan seperti Vietnam yang telah menggunakan khidmat jurulatih dari Korea iaitu Park Hang-seo telah memperlihatkan peningkatan ketara pasukan kebangsaan Vietnam sehingga mereka kini digelar gergasi di Asia Tenggara.

Indonesia juga mengambil pendekatan yang sama apabila mengambil Shin Tae-yong untuk mengendalikan skuad kebangsaan dan beliau telah membuktikan kemampuannya apabila pasukan Garuda kini dibarisi oleh pemain muda dan berkualiti.

Sementara itu, Malaysia yang merupakan pasukan terbaru menggunakan khidmat jurulatih dari Korea telah membuahkan hasil apabila Pan-gon telah berjaya membawa pasukan Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 sekaligus menamatkan kemarau 42 tidak layak secara merit.

Ia sudah terbukti jurulatih dari Korea mampu meningkatkan prestasi pasukan dari Asia Tenggara, rasanya bukan sahaja Thailand tetapi negara serantau juga berkemungkinan besar akan mengikut jejak langkah yang sama.