Manfaatkan konsep Borneo Cup, kembalikan zaman kegemilangan pasukan Borneo

2,206

Sudah lama kita tidak melihat pasukan dari Borneo mendominasi saingan Liga Malaysia.

Kejayaan terakhir skuad Sabah adalah pada 2019 apabila mereka menjuarai Liga Perdana dengan 13 kemenangan daripada 20 perlawanan.


Manakala kali terakhir pasukan Sarawak mengangkat piala adalah menerusi Sarawak FA yang turut menjuarai Liga Perdana pada tahun 2013.

Namun, sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang tanda-tanda kebangkitan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan ini lebih-lebih lagi pasukan Sarawak yang kini diwakili oleh Sarawak United FC di Liga Super.

Sabah FC masih belum mencapai tahap selesa meskipun menunjukkan peningkatan aksi yang memberangsangkan pada beberapa perlawanan sebelum ini.

Pada masa yang sama, pasukan jiran mereka Sarawak United kini berada di kedudukan bawah liga dan sering menjadi pasukan belasahan.

Tambahan lagi, pemain daripada kedua-dua negeri ini kurang mendapat tempat di skuad kebangsaan.

Kali terakhir pemain Sabah dipanggil adalah ketika pemain pertahanan, Rawilson Batuil dan seorang lagi pemain tengah, Azzizan Nordin yang mengikuti latihan pusat namun digugurkan pada saat akhir.

Justeru itu, kedua-dua pasukan dari Timur negara ini perlu segera mencari inisiatif yang mampu menjulang kembali nama mereka di persada Liga Malaysia.

Salah satu usaha yang boleh diambil adalah dengan menghidupkan kembali kejohanan bola sepak serantau yang turut disertai oleh pasukan daripada negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Brunei.

Kali terakhir kejohanan seperti ini diadakan adalah menerusi penganjuran Borneo Cup yang telah ditamatkan penganjurannya pada tahun 1989 apabila kedua-dua pasukan ini membuat keputusan menyertai Liga Malaysia.

Pengarah Teknikal pasukan Sabah, Scott Ollerenshaw telah kembali memperkenalkan Borneo Cup sejak tahun 2008 namun hanya menumpukan kepada pasukan remaja sahaja.

Sudah tiba masanya untuk pihak pengurusan menggunakan konsep yang sama untuk memberi peluang kepada pemain utama kedua-dua pasukan untuk menentang lawan dari luar negara.  

Lebih menarik sekiranya kejohanan seperti ini dapat menarik minat pasukan dari Australia, Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai kualiti bola sepak yang jauh lebih baik selaku pasukan jemputan.

Kejohanan ini juga boleh dimasukkan ke dalam jadual pra-musim pasukan bagi menjadi medan persediaan terbaik untuk mereka menjelang aksi liga.

Pengalaman menentang pemain-pemain luar ini mampu dimanfaatkan oleh para pemain sekaligus akan membantu meningkatkan kualiti bola sepak di Malaysia.

Selain dari dua pasukan yang kini beraksi di Liga Super, pasukan yang turut berasal dari Borneo seperti Kuching City FC yang kini beraksi di Liga Perdana dan Kinabalu Jaguar FC dari Liga M3 juga boleh memanfaatkan peluang ini sebagai medium persediaan untuk mereka menghadapi lawan yang lebih kuat.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen