Allee Putra masih menantikan tawaran Harimau Malaya, bersedia beri sepenuhnya untuk negara

983

Pemain akademi Malaga City FC di Sepanyol, Allee Putra merupakan antara nama pemain muda negara yang kini berkelana mencari pengalaman di luar negara.

Allee yang telah tersenarai di antara 14 pemain terbaik akademi tersebut turut menyatakan kesediaan beliau sekiranya diperlukan di dalam skuad muda kebangsaan.


“Setakat ini saya belum pernah mendapat tawaran daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), tapi saya akan sentiasa bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali boleh mempertimbangkan kemungkinan untuk turut menyenaraikan Allee sebagai salah seorang pemain yang akan menggalas cabaran negara di pusingan kelayakan Piala Asia B-20 yang akan berlangsung September ini.

Pengalaman bermain di Eropah akan menjadikan Allee antara penambahan terbaik kepada pasukan yang baru menjuarai saingan Piala AFF B-19 tersebut yang dilihat masih memiliki beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki.

Sebelum ini, Hassan telah memanggil seorang lagi pemain muda yang beraksi di luar negara, Omar Raiyan yang kini bermain bersama pasukan muda Red Star Belgrade di Serbia.

Kehadiran dua pemain ini mampu menjadi ‘senjata rahsia’ yang dapat digunakan untuk memastikan matlamat layak ke Piala Asia B-20 2023 dapat dicapai.

Dalam pada itu, Allee yang mula menapak di bumi Sepanyol pada 2020 tidak berhadapan dengan masalah yang besar untuk membiasakan diri dengan corak latihan yang diterapkan di akademi tersebut.

“Dari segi komunikasi mungkin sedikit mencabar pada awalnya kerana saya tidak mengetahui Bahasa Sepanyol dan mereka kurang menggunakan Bahasa Inggeris.

Tetapi tiada masalah dari segi latihan fizikal yang tidak jauh beza dengan Malaysia kecuali mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan ‘ball training’ untuk membiasakan para pemain.”

Di samping itu, kehadiran beberapa bekas pemain dunia di dalam barisan pengurusan akademi turut membantu Allee untuk segera menyusaikan diri dengan kaedah latihan yang digunakan.

“Pengaruh bekas pemain seperti George Jermy dan bekas pemain Paris Saint Germain, Charlie Mallmann membantu saya banyak dalam meningkatkan prestasi semasa.”

Malaga City merupakan sebuah kelab pembangunan yang pernah melahirkan beberapa bintang ternama yang kini beraksi di beberapa buah kelab di liga Sepanyol.

Situasi begini pasti dapat membantu untuk mengembangkan lagi karier pemain muda dari Kelantan ini untuk terus beraksi di liga besar luar negara.

Sementara itu, Alle turut mendedahkan kaedah pembelajaran yang digunakan oleh barisan kejurulatihan akademi sedikit sebanyak memberi impak kepada peningkatannya.

“Untuk saya, tempat terbaik untuk pemain muda membina karier dan mengembangkan potensi permainan adalah di Sepanyol dan England.

Mereka sentiasa selitkan kaedah pengajaran seimbang terhadap teknikal dan taktikal pada setiap sesi latihan.”

Allee yang telah memperoleh biasiswa penuh di akademi tersebut bagi musim 2022/2023 mengimpikan untuk beraksi bersama pasukan gergasi Eropah seperti Real Madrid dan Manchester United satu hari nanti.

Terdahulu, Allee pernah mewakili pasukan belia Perlis pada tahun 2019 seawal usia 14 tahun sebelum kelab tersebut dibubarkan.

Pemain tersebut yang sedang menjalani tempoh cuti musim panas di Kota Bharu, mengambil inisiatif untuk melakukan latihan persendirian di padang Majlis Daerah Ketereh berdekatan rumahnya bagi memastikan momentum kecemerlangannya dapat diteruskan sekembalinya ke Sepanyol pada Ogos atau September ini.