Lauren Hoh Ruyi dedah corak permainan dan ideologi jurulatih di Thailand berbeza dengan Malaysia

612

Pemain pertahanan pasukan B-18 wanita negara, Lauren Hoh Ruyi mengakui terdapat perbezaan dari segi corak permainan dan latihan di antara bola sepak Thailand dan Malaysia.

“Saya rasa corak permainan adalah perkara utama yang saya dapat lihat ada perbezaan dan jurulatih di sana juga mempunyai ideologi bagaimanapun permainan harus dimainkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Lauren adalah pemain wanita negara yang berpengkalan di Phuket, Thailand di mana beliau beraksi bersama Akademi Bola Sepak BISP Cruzeiro.


Lauren telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-18 negara, Kok Keng Lin untuk memperkuatkan benteng negara untuk menghadapi saingan Piala AFF B-18 Wanita yang membuka tirainya bermula hari ini.

Skuad Malayan Tigress telah menjalani latihan berpusat selama dua minggu bagi mempersiapkan diri untuk menyertai kejohanan tersebut termasuk melakukan siri persahabatan.

“Persiapan kami berjalan dengan lancar dan saya bersama rakan sepasukan lain dapat menyesuaikan diri dengan cepat, malah kami juga sudah mempunyai keserasian apabila beraksi di atas padang.”

Dalam pada itu, Lauren mengakui skuad negara mempunyai kekurangan dari segi fizikal, namun beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan, sebaliknya jika mereka bermain dengan pantas dan bekerja sebagai satu unit, mereka pasti mampu mengatasi apa sahaja halangan.

Lauren bersama rakan sepasukan juga bertekad mahu pamer aksi terbaik kerana mereka telah meletak sasaran untuk layak ke separuh akhir.

“Kami mahu cipta sejarah sebagai pasukan bola sepak wanita pertama negara yang layak ke pusingan separuh akhir Piala AFF.

Untuk mencapai sasaran itu kami perlu memberi aksi persembahan terbaik selain mempamerkan kemampuan kami kepada semua penyokong.”

Sementara itu, Lauren yang mengalami kecederaan tangan ketika perlawanan persahabatan berharap agar kecederaan itu tidak serius kerana beliau sememangnya mahu turun beraksi untuk pasukan kebangsaan.

Beliau kini sedang menunggu laporan penuh daripada pihak doktor yang akan menilai samada dapat diturunkan pada perlawanan pertama atau hanya akan mula diturunkan pada perlawanan seterusnya.

Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan Myanmar, Australia dan Filipina.