Ketiadaan Chanathip Songkrasin di Piala AFF 2022 buka peluang kepada Malaysia untuk rangkul kejuaraan

2,613

Sedikit berita gembira buat penyokong Malaysia apabila kapten pasukan Thailand, Chanathip Songkrasin telah mengumumkan bahawa beliau akan berehat dari skuad kebangsaan buat sementara waktu.

Keputusan itu terpaksa dibuat kerana beliau mengalami masalah kecergasan dan akan menyaksikan beliau tidak akan akan bersama skuad Gajah Perang dalam dua kejohnan iaitu Piala AFF 2022 dan juga King Cup.


Berita ini pastinya akan membuatkan penyokong Malaysia berasa gembira kerana ia akan membuka peluang yang cerah kepada skuad Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan pada edisi kali ini sekaligus mengulangi kejayaan yang dikecapi pada tahun 2010.

Mungkin ramai yang akan berkata ‘takkan sebab Chanathip seorang tak ada, Malaysia boleh menang’. Ya, tidak dapat dinafikan sememangnya Thailand mempunyai ramai pemain berkualiti, namun masih belum ada pemain lain yang mampu menandingi kualiti yang ada pada pemain Kawasaki Frontale ini buat masa ini.

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) berkemungkinan besar akan membariskan ramai pemain muda untuk kejuaraan Piala AFF kali ini berikutan fokus mereka adalah pada kejuaraan AFC.

FAT akan menggunkan pentas Piala AFF sebagai pendedahan kepada pemain-pemain muda mereka.

Oleh itu, anak buah Kim Pan-gon seharusnya mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk memastikan mereka meneruskan momentum kecemerlangan mereka ketika ini.

Pan-gon boleh menggunakan saingan Piala AFF ini sebagai medan untuknya memantapkan lagi permainan pasukan kebangsaan sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Asia 2023.

Selain perlu memantapkan lagi pasukan, skuad negara juga mempunyai misi yang penting di Piala AFF iaitu perlu menebus kekecewaan pada edisi lalu yang menyaksikan mereka tersingkir awal.

Dengan situasi dan prestasi semasa skuad negara ketika ini, tiada alasan untuk Malaysia tidak meraih keputusan cemerlang di sana nanti.

Terdahulu, skuad B-19 negara telah mempamerkan semangat juang yang cukup tinggi apabila mereka berjaya merangkul trofi Piala AFF B-19 baru-baru ini.