Kobe Jae Chong pilih kekal di England demi masa depan karier bola sepaknya

2,247

Pemain muda, Kobe Jae Chong menyifatkan keputusan yang dilakukan olehnya memilih AFC Telford adalah satu tindakan tepat.

Beliau menolak tawaran lumayan yang diberikan oleh beberapa kelab di Malaysia demi memastikan perkembangan karier dan masa depan yang lebih terjamin.


“Saya rasa kekal di sini adalah pilihan yang sangat tepat untuk melihat kemampuan sebenar saya untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Satu musim yang baik akan membuka pintu untuk saya kembali ke tahap sebenar yang saya inginkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

AFC Telford kini bersaing di National League (Utara), saingan divisyen keenam mengikut hierarki liga di England.

Situasi ini mendapat reaksi negatif daripada peminat bola sepak tanah air yang beranggapan Kobe mensia-siakan bakatnya untuk beraksi bersama kelab di liga bawahan.

Namun, Kobe percaya peluang yang dimilikinya ini akan menjadi medium untuk beliau terus mempertingkatkan kualiti permainan di masa hadapan.

Tambahan pula, kelab yang dipilih oleh Kobe merupakan sebuah pasukan yang agak hebat dan mempunyai fasiliti serta peminat yang agak ramai.  

“Cita-cita saya adalah untuk beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris dan kelab ini merupakan pilihan yang tepat kerana ia merupakan antara kelab yang besar di kawasan ini.”

Pada masa yang sama, pemain berusia 21 tahun ini juga merasakan keadaan bola sepak di England mampu menjadikan beliau seorang pemain yang baik meskipun tidak beraksi di liga utama.

Persaingan yang perlu dihadapi oleh kesemua pemain di liga ini menyebabkan mereka sentiasa ingin memperbaiki kualiti permainan dari masa ke masa.

“Ramai pemain dari divisyen ini berjaya berpindah ke kelab di liga kedua, EFL Championship.”

Pada masa yang sama, peminat perlu terus memberikan sokongan kepada pemain muda ini untuk terus menimba pengalaman di liga besar Eropah sebelum dipilih menyarung jersi kebangsaan.

Pendedahan dan pengalaman beraksi di liga seperti ini akan menjadikan Kobe salah seorang pemain yang diperlukan oleh skuad negara di masa hadapan.

“Cabaran bola sepak di England adalah amat tinggi, mungkin sukar difahami oleh peminat di Malaysia kerana saya bermain di kelab divisyen keenam.

Tetapi jika peminat datang untuk menyaksikan perlawanan, mereka akan memahami bahawa tahap bola sepak di sana adalah sangat-sangat berbeza dan mencabar.”

Kobe sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan B-17 Cagliari di Itali.

Selepas menyertai Telford United pada 13 Julai yang lalu, Kobe sering menjadi pemain yang diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan oleh pengurus, Paul Carden.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen