Kelibat LZJ dirindui peminat selepas Malaysia raih emas berpasukan di Komanwel 2022

5,090

Kem badminton negara cemerlang meraih pingat emas Sukan Komanwel 2022 dalam berpasukan campuran selepas menundukkan juara bertahan, India di National Exhibition Center (NEC), Birmingham.

Selepas mata kemenangan dimenangi oleh pasangan Pearly Tan-M. Thinaah, semua pemain negara berkumpul dan memeluk antara satu sama lain di atas gelanggang meraikan kejayaan bersejarah itu.


Kemenangan itu lebih manis kerana berjaya membalas dendam empat tahun lalu di mana skuad negara tewas kepada lawan sama di perlawanan akhir dalam edisi yang berlangsung di Gold Coast, Australia.

Kemenangan 3-1 itu pastinya membakar semangat kem negara untuk menghadapi acara perseorangan serta beregu yang akan bermula hari ini.

Di sebalik kejayaan itu, ramai peminat yang merindui kelibat perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang sememangnya amat popular dalam kalangan peminat.

Dalam kalangan pemain badminton negara, Zii Jia diketahui antara pemain yang begitu ceria dan sering menghangatkan suasana dalam pasukan.

Selain itu, ramai yang mahu menyaksikan detik indah antara beliau dan Pearly meraikan kejayaan bersama-sama.

Kedua-dua pemain itu diketahui sangat rapat di dalam dan luar gelanggang sehingga ada yang beranggapan bahawa mereka berdua berpasangan walaupun kedua-duanya sering menafikan perkara itu.

Mereka merupakan rakan sejak dari kecil jadi tidak pelik sekiranya mereka begitu rapat kerana sama-sama berjuang dari bawah untuk ke tahap ini.

Pearly juga sememangnya aktif di sosial media terutama Instagram dan sering berkongsi perkembangan rakan sepasukan dan dirinya bersama peminat.

Beliau juga ada membuat beberapa hantaran mengenai kejayaan menundukkan India itu untuk tatapan peminat.

Namun siapa tahu, mungkin Zii Jia orang pertama yang Pearly berkongsi kegembiraan dengannya selepas memenangi pingat emas semalam.

Dalam pada itu, kejayaan pemain perseorangan, Ng Tze Yong menundukkan bekas pemain nombor satu dunia, Srikanth Kidambi 21-19, 6-21 dan 21-16 untuk menyumbang mata kedua negara juga satu perkara yang begitu membanggakan.

Tze Yong membuktikan bahawa beliau mampu menjadi pencabar kepada Zii Jia bagi status pemain perseorangan no.1 negara satu hari nanti.

Ini juga satu persaingan yang sihat dan akan membuatkan kedua-dua pemain itu meningkatkan prestasi masing-masing untuk menjadi pemain utama Malaysia.

Beliau juga berjaya membuktikan kepada pengkritik yang lantang mempersoalkan persembahannya di beberapa kejohanan sebelum ini.

Ini juga mungkin ‘tuah’ daripada gaya rambut barunya yang diubah sebelum berangkat ke Birmingham tempoh hari.

Tze Yong yang popular dengan gaya rambut ‘cendawan’ sebelum ini mengakui beliau berharap gaya rambut baru itu membawa tuah buatnya dan ia nampaknya benar-benar menjadi kenyataan.

Semoga pingat emas ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak lagi kejayaan skuad badminton negara terutama pada aksi perseorangan dan beregu selepas ini, serta Kejohanan Dunia di Tokyo hujung bulan ini.